Skip to main content

Bola Sepak

Masalah betis jejas Mbappe jumpa Manchester City

mbappe.jpg
Kylian Mbappe sah terlepas perlawanan membabitkan Paris Saint-Germain (PSG) dan Lens, awal pagi esok, akibat kecederaan betis dan berkemungkinan tidak dapat diturunkan ketika bertandang ke Manchester City.

Mbappe beraksi penuh ketika PSG tewas 1-2 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu. 

Namun, pemain antarabangsa Perancis itu -- yang gagal melepaskan sebarang percubaan ketika bertemu The Cityzens biarpun sempat mencipta empat peluang -- tidak cergas untuk tampil melawan Lens bagi jadual Ligue 1 dan secara tidak langsung menafikannya potensinya untuk melebarkan jumlah jaringan 25 golnya musim ini .

Pengurus kelab yang berpangkalan di ibu kota Perancis itu, Mauricio Pochettino, belum pasti sama ada penyerang tersebut akan sempat pulih sebelum mereka ke Stadium Etihad, Khamis depan. 

"Kylian berdepan masalah dengan betis kanannya," kata Pochettino kepada media. 

"Kami berharap ia tidak serius dan dia boleh kembali bersama kami secepat mungkin.

"Dia adalah tunjang kami dan apabila anda tidak mempunyai pemain utama, ia akan sentiasa memberikan kesan. Tetapi kami mempunyai pilihan lain dalam skuad yang mampu melakukannya dengan baik dan mengisi kekosongannya. 

"Ia akan meletakkan kami semakin hampir dengan kemenangan yang dihajati, ia merupakan perkara terpenting."


 

PSG mendahului 1-0 dalam separuh masa pertama ketika menentang City dengan ketua pasukan, Marquinhos, meletakkan mereka di depan pada minit ke-15 aksi di Parc des Princes itu. 

Namun, pasukan bimbingan Pep Guardiola tersebut kembali menyusun rentak selepas rehat apabila mengubah keputusan itu hasil jaringan Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez.

Walaupun keputusan itu mengecewakannya, Pochettino menegaskan suasana dalam skuadnya tetap positif apabila menjelaskan tumpuan mereka ketika ini telah beralih kepada pemburuan gelaran Ligue 1, bukannya aksi timbal balik dengan City.

"Selepas kecundang dalam UCL, pemain ingin kembali bersaing bagi memadam perasaan buruk itu," katanya lagi. 

"Pemain beraksi dengan baik. Kami tewas dalam perhitungan pertama tetapi kami masih bermotivasi dan yakin bahawa kami dapat mengubah keputusannya.

"Demi menghormati Manchester City, kami akan pergi ke sana untuk melangsungkan perlawanan. Kami salam suasana yang baik; kami bermotivasi tinggi untuk perlawanan esok, itu yang paling mustahak."
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found