Selangor hari ini mengumumkan Jun Marques Davinson sebagai Penolong Ketua Jurulatih Gergasi Merah yang baharu skuad Merah Kuning bagi musim 2024/25.

Jun Marques Davinson terbang ke Malaysia membawa bersama pengalaman beliau yang luas, sebagai pemain mahupun jurulatih. Sebagai bekas pemain profesional, Davinson pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka di Jepun, termasuk Omiya Ardija, Albirex Niigata, Vissel Kobe, C'dole Sapporo, dan Tokushima Vortis. Memulakan kariernya di Liga J2 Jepun pada tahun 2002 di usia 19 tahun, beliau memainkan peranan penting dalam membawa Omiya Ardija naik ke Liga J1 pada tahun 2005. Sepanjang kerjayanya, beliau telah membuat 86 penampilan untuk Omiya Ardija sahaja.


Selain daripada kerjayanya di Jepun, Davinson juga berpengalaman bermain di Amerika Syarikat, bersama Charlotte Independence di USL Championship dan Vancouver Whitecaps FC di Major League Soccer (MLS).

Selepas bersara sebagai pemain pada tahun 2017, Davinson beralih ke dunia kejurulatihan, bermula di kelab pertamanya, Omiya Ardija, di mana beliau menjadi jurulatih bersama pasukan muda (B-7 hingga B-11). Perjalanan kejurulatihannya kemudian membawanya ke China pada tahun 2019, di mana beliau melatih skuad B-9 Guangzhou R&F FC sebelum beralih ke peranan sebagai Penolong Jurulatih di Shijiazhuang Ever Bright FC pada tahun 2020. Tiga tahun seterusnya, beliau bekerja bersama pasukan B-15 dan B-18 Kogishima United FC di Jepun dan dilantik sebagai Pengarah Pembangunan di Shaanxi Union FC pada awal tahun 2024.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, gabungan pengalaman, sikap dan pemahaman Davinson dengan falsafah bola sepak yang beliau ingin ketengahkan, menjadi faktor utama dalam pelantikannya.

"Sebelum saya bersetuju untuk menyertai Selangor FC, saya telah menetapkan syarat untuk membawa seorang penolong jurulatih dari Jepun atau Eropah. Pihak pengurusan bersetuju dengan syarat ini, dan saya memilih untuk membawa Marques Davinson ke dalam pasukan. Keperibadiannya serta pengalaman luas dalam kejurulatihan, bukan hanya di Jepun tetapi juga di China dan Amerika Syarikat, menjadikannya pilihan yang tepat untuk Gergasi Merah,” kata Kinoshi.

Hubungan Kinoshi dengan Davinson bermula sejak 2002 lagi, ketika mereka berdua berada di Omiya Ardija. Sejak awal, Kinoshi sudah melihat potensi Davinson bukan hanya sebagai pemain, tetapi sebagai jurulatih yang baik. "Saya sudah mengenalinya sejak beliau seorang pemain lagi, secara jujurnya sejak itu saya dapat merasakan bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadi jurulatih hebat kerana sikap dan etika kerjanya. Kami kemudian bekerjasama di sebuah akademi pembangunan di China, dan sepanjang itu, kami bertukar banyak idea tentang bola sepak. Saya dapati Marques benar-benar memahami falsafah bola sepak yang ingin saya terapkan di Selangor FC," tambah Kinoshi.

"Marques fasih berbahasa Inggeris, ini bakal memudahkan komunikasi semasa sesi latihan dan perbincangan bersama barisan jurulatih serta pemain yang lain. Selain itu, beliau mempunyai pendekatan yang terbuka dan pemikiran yang luas, baik dalam bola sepak mahupun kehidupan, yang seiring dengan apa yang saya inginkan. Selain itu, sikap agresif beliau di atas padang adalah sesuatu yang sangat saya hargai, dan merupakan elemen penting dalam falsafah yang saya bawakan di sini. Marques mampu menggambarkan semangat itu dengan sangat baik. Gaya permainan dan pengalaman kejurulatihannya akan melengkapi pasukan dengan baik,” jelas Katsuhito Kinoshi mengenai pelantikan Marques.