LIGA SUPER MSIA
Magis Rahmad kecewakan Selangor
T-Team meneruskan rentak cemerlang selepas jaringan Muhammad Fauzi Abdul Kadar dua minit sebelum wisel penamat memastikan kemenangan 1-0 ke atas Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati pada awal perlawanan sehingga minit ke-16 apabila tandukan Farhod Tadjiyev tepat ke dakapan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.
Khairul Azhan terus menafikan hasrat tuan rumah untuk memecahkan kebuntuan selepas menepis dua lagi percubaan Farhod pada minit ke-28 dan 37.
Iklan
Peluang terbaik T-Team hadir pada minit ke-40, malangnya rembatan kencang Mohd Nor Hakim Hassan dalam kotak penalti tinggi melepasi pintu gol Selangor.
Pelawat bangkit dalam babak kedua dengan asakan Victor Astafei (m-46) dan Francis Forkey Doe (m-51), namun mudah dibaca penjaga gol T-Team, Mohd Hafidz Romly.
Muhammad Fauzi yang masuk pada minit ke-58, akhirnya menggembirakan kem tuan rumah dengan larian solonya di sebelah kiri berjaya melepasi pertahanan Selangor sebelum menewaskan Khairul Azhan pada minit ke-88.
Keputusan itu nyata melegakan pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, yang turun dengan taktikal berkesan bagi memastikan tiga mata berjaya menjadi milik pasukannya.
“Kami sukar menembusi kubu Selangor kerana situasi tiga lawan lima ketika melakukan asakan dan kemudian pasukan lawan berubah kepada 3-4-3 untuk melancarkan serangan balas.
“Keadaan itu memaksa saya mengubah percaturan dengan menyerang di bahagian tepi dan agak bernasib baik memiliki pemain sayap yang lebih laju,” katanya.
Nada kecewa pula diluahkan ketua jurulatih Selangor, P. Maniam, yang terpaksa melupakan hasrat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Kuala Terengganu.
Menurutnya, mereka gagal mengawal permainan, malah tidak beraksi dengan kekuatan sebenar pada babak pertama.
“Kami sedikit meningkat dalam babak berikutnya, namun mensia-siakan peluang terhidang.
“Satu mata mampu dikutip, malangnya pemain-pemain hilang fokus dan tumpuan di minit-minit terakhir perlawanan,” kata Maniam.
Selepas tamat pusingan pertama, Selangor dan T-Team kini berkongsi 16 mata di kedudukan keenam dan ketujuh liga, dengan hanya dibezakan kelebihan jaringan yang berpihak kepada skuad Red Giants.
Must-Watch Video