Skip to main content

Bola Sepak

LMFA gesa KFA kaji semula keputusan rehatkan Marcote

201117marcote.jpg
Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), antara kelab penyokong utama pasukan Hijau Kuning, meminta keputusan merehatkan ketua jurulatih  Kedah, Ramon Marcote, dikaji semula kerana mendakwa keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa.

Timbalan pengerusinya, Mohd Syakrunaim Ismail, berkata keputusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu juga dilihat tidak adil buat Marcote kerana pasukan Lang Merah baru bermain dalam lima perlawanan Liga Super.

“Kami minta pihak pengurusan KFA mendengar suara kami juga yang mempunyai 21 kelab gabungan LMFA di seluruh negara, jadi kami minta supaya keputusan itu dikaji semula demi masa depan bola sepak negeri Kedah.

“Jika dilihat, ia merupakan keputusan yang terburu-buru dan sepatutnya berilah peluang kepada Marcote untuk membuktikan kemampuan beliau sekurang-kurangnya sehingga habis pusingan pertama pada Mei ini,” katanya dalam sidang media, semalam.

Dalam pada itu, LMFA juga meminta supaya Marcote tidak berkecil hati dan membuat keputusan untuk meninggalkan Kedah kerana peminat masih menagih sentuhannya.

Terdahulu, kira-kira 100 wakil kelab gabungan hadir untuk sama menandatangani kain rentang berbunyi “We Want Marcote” dan “Stay For Head Coach” sebagai tanda sokongan kepada jurulatih tersebut.

Antara kelab gabungan yang hadir ialah Lang Merah Fans Club, Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah (KEPAK), Geng Gila Bola, Lang Merang Lembah Klang, Lubuk Manjung Fans Club dan Red Eagle Club.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga Menteri Besar, berkata keputusan merehatkan Marcote dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

Beliau berharap semua pihak dapat memberi kepercayaan kepada pengurusan KFA untuk melakukan sedikit rombakan bagi membantu menaikkan semula pasukan Lang Merah.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif  KFA, Yusdi Madeinus Mohamad Yunus, berkata Mohd Nidzam Adzha dilantik untuk memangku jawatan ketua jurulatih pasukan itu.

Yusdi Madeinus berkata Marcote kini diberikan peranan baru sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA bagi memantau projek pembangunan bola sepak sedia ada serta merangka persediaan skuad Hijau Kuning bagi tempoh jangka panjang.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video