SERIE A
Llorente letak tekanan kejuaraan kepada Juventus
Fernando Llorente menjangkakan kelab barunya, Napoli, bakal melalui musim cemerlang tetapi berpendapat tekanan kejuaraan akan kekal bersama bekas majikannya, Juventus.
Penyerang dari Sepanyol, Llorente, tiba di Stadio San Paolo dua bulan selepas kontraknya bersama Tottenham Hotspur tamat.
Pemain berusia 34 tahun itu pernah melalui pengalaman di Itali, dengan menyumbat 23 gol dalam saingan Serie A sewaktu bersama Juve selama dua musim.
Iklan
Llorente menjulang Scudetto sebanyak dua kali sewaktu di Turin dan sedar hasrat untuk menamatkan dominasi The Bianconeri adalah sesuatu yang sukar.
"Saya pernah menewaskan mereka sebelum ini tetapi ia adalah satu perkara yang perlu dilakukan dalam sebuah perlawanan dan seperkara lagi, harus mengatasi mereka sepanjang musim," katanya.
"Seperti saya katakan, saya yakin dan percaya kami akan melalui musim yang bagus.
"Terdapat keinginan untuk meraih trofi tetapi kami tidak boleh letakkan tekanan kepada diri sendiri. Juventus yang berdepan tekanan itu. Mereka memiliki barisan simpanan yang bagus.
"Kami mempunyai kelompok pemain muda yang mampu berkembang. Saya pasti kami bakal memiliki pemain hebat pada masa hadapan."
Napoli telah menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan musim ini, termasuk tiga jaringan yang dihasilkan sewaktu tewas 4-3 di tangan Juve tatkala Dries Mertens mengetuai barisan depan.
Kehadiran Llorente dilihat menambahkan pilihan dan walaupun tempoh beraksi bukan sesuatu yang menjadi keutamaan, bekas penyerang Athletic Bilbao itu tidak sabar untuk bekerjasama dengan pengurus pasukan, Carlo Ancelotti.
"Satu perasaan yang bagus apabila seseorang seperti Ancelotti menghubungi anda," katanya.
"Saya memang mahu ke Napoli tetapi apabila seoarang jurulatih yang berjaya melibatkan anda, ia membuatkan anda fikir ia satu keputusan tepat.
"Napoli adalah sebuah kelab besar dengan pengendali yang bagus. Saya benar-benar mahu bekerja dengan Ancelotti, jadi saya berbesar hati untuk berada di sini."
Must-Watch Video