Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool buntu perkembangan kecederaan Henderson

henderson-210417.jpg
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak pasti sama ada ketua pasukannya, Jordan Henderson, akan dapat tampil lagi musim ini.

Pemain tengah England itu telah diketepikan sejak pertengahan Februari lalu berikutan kecederaan kaki dan sekali lagi tersisih dalam lawatan Crystal Palace ke Anfield, Ahad ini. 

Beberapa minggu lalu, Klopp telah menyuarakan harapan agar pemain berusia 26 tahun itu dapat beraksi kembali tetapi kali ini dia akur tiada jaminan kepada peminat untuk menyaksikan kelibat Henderson sebelum akhir bulan depan. 

"Saya tidak tahu," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Pada masa ini, dia tidak dapat turun menjalani latihan sebenar. Kami perlu menunggu.

"Jika ada perkembangan lanjut, saya akan memaklumkan.

"Kami sedang berbincang dengan jabatan perubatan yang berbeza. Dia bukan lagi merupakan pesakit.

"Ini tidak bagus. Dia kelihatan benar-benar sihat tetapi dia tidak boleh bermain bola sepak.

"Itulah keadaannya pada ketika ini."

Namun, The Reds menerima perkhabaran baik mengenai Adam Lallana yang terlepas empat perlawanan terakhir Liverpool akibat masalah hamstring.

"Adam dalam keadaan baik. Dia kembali ke padang tetapi masih bersama jurulatih pemulihan, jadi tiada apa yang berubah," kata Klopp lagi. 

"Dia akan terlibat -- tarikhnya belum dipastikan dengan tepat lagi -- dia menjalani latihan seperti biasa sejak kelmarin dan semalam."

Pengurus dari Jerman itu berdepan masalah kecederaan ketara di bahagian tengah pertahanannya, dengan Dejan Lovren satu-satunya pemain senior yang cergas.

Joel Matip dan Lucas Leiva sedang mendapatkan rawatan manakala Ragnar Klavan berdepan masalah lutut. 

Ini bermakna pemain remaja, Joe Gomez, diturunkan untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali sejak September 2015.

"Kami berdepan beberapa masalah kecil selepas perlawanan terakhir sehingga menyulitkan kami.

"Joel Matip dan Lucas Leiva menghadapi masalah kecil di bahagian otot, Ragnar Klavan turut bergelut -- ia adalah masalah yang sangat kecil di ligamen tetapi mungkin tidak sempat untuk pulih sebelum pertemuan dengan Crystal Palace, jadi ia akan menjadi menarik. Namun, ia kelihatan baik pada masa ini. "

"Ia bukan 100 peratus bahawa Lucas, Joel, dan Ragnar tidak boleh bermain, tetapi pada masa ini mereka tidak turun berlatih.

"Joe Gomez beraksi bersama skuad bawah 23 tahun pada Isnin lalu. Dia beraksi dengan cukup baik dan telah menunjukkan perkembangan pesat dalam beberapa minggu lepas, jadi mungkin kami perlu mencuba gandingan ini. Pada masa ini, saya belum pasti lagi."


 

Advertisement

Must Watch Video