Skip to main content

Bola Sepak

Liga Negara-Negara: Harry Kane mahu atasi rekod Wayne Rooney secepat mungkin

kane.jpg
Harry Kane mengumumkan bahawa dia mahu memecahkan rekod jaringan terbanyak England milik Wayne Rooney dengan "secepat mungkin" menjelang perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Hungary awal pagi esok.

Bintang Tottenham itu menjaringkan 17 gol dan menghasilkan sembilan bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bagi membantu pasukan bimbingan Antonio Conte berkenaan layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Pemain berusia 28 tahun itu kini mengalihkan tumpuannya buat skuad kebangsaan England, yang akan bertandang ke Hungary dan Jerman sebelum bertemu Italy pada 11 Jun ini bagi aksi Kumpulan A3.

Mereka kemudian akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan melayani kunjungan Hungary tiga hari kemudian.

Pengurus England, Gareth Southgate, boleh menggunakan kejohanan berkenaan untuk menilai kekuatan sebenar pasukannya menjelang Piala Dunia Qatar pada November depan tetapi Kane sedang membawa satu misi peribadi.

Penyerang itu telah menjaringkan 49 gol daripada 69 penampilan buat England, di mana dia menyamai rekod jaringan Bobby Charlton ketika menewaskan Switzerland 2-1 dalam satu aksi persahabatan di Wembley pada Mac lalu.

Kane, yang terlibat dengan 16 jaringan sepanjang 12 penampilan terakhir bersama England (15 gol dan 1 bantuan jaringan), hanya kekurangan empat gol untuk menyamai rekod 53 jaringan yang dilakukan Wayne Rooney buat negara itu.

Bahkan, dia meluahkan hasratnya untuk mengatasi rekod itu dengan secepat mungkin.


"Ia seperti sudah lama sejak penampilan pertama saya," katanya dalam sidang media. 

"Ia masih salah satu perasaan terbaik buat saya, bermain untuk England dan menyarung jersinya. Pada ketika itu, ini bukanlah jumlah yang pernah saya bayangkan.

"Ia berlaku dengan amat pantas dengan perlawanan dan kejohanan utama. Amat hebat untuk menghampiri angka 50 walaupun ia masih di belakang Wazza.

"Saya mahu memecahkannya secepat yang mungkin dan melihat sejauh mana saya boleh melakukannya," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video