Skip to main content

Bola Sepak

Liga Negara-Negara: Gol lewat Horta pastikan Portugal ikat Sepanyol

ricardo-horta.jpg
SEPANYOL 1 PORTUGAL 1

Ricardo Horta menjaringkan gol pada lewat permainan untuk Portugal mengikat Sepanyol 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara Eropah di Estadio Benito Villamarin awal pagi tadi.

Sepanyol tewas kepada Perancis dalam final kejohanan sama tahun lalu tetapi memulakan kempen kali ini selepas empat kemenangan berturut-turut.

Morata membuka jaringan buat Sepanyol dalam babak pertama untuk dia kini menduduki tangga ketujuh dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang sejarah La Roja dengan 26 gol dalam kesemua kejohanan.

Portugal hanya memberikan sedikit respons selepas jaringan itu sehinggalah Horta menemui jaringan pada baki lapan minit perlawanan Kumpulan A2 berkenaan, sekali gus mencuri satu mata dalam aksi pertama.
 

Rembatan Gavi sedikit tersasar pada awal permainan sebelum percubaan Rafael Leao -- yang kali pertama berada dalam kesebelasan utama Portugal -- melambung tinggi di gawang bertentangan.

Morata membuka jaringan pada minit ke-23 setelah Gavi melakukan hantaran kepada Pablo Sarabia, yang tidak mementingkan diri menghulurkan bola untuk ditolak masuk penyerang berkenaan.

Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, memberikan respons dengan memasukkan Ruben Neves dalam babak kedua tetapi penguasaan permainan masih milik Sepanyol.

Cristiano Ronaldo kemudian dimasukkan selepas sejam perlawanan tetapi jaringan penyamaan Portugal hanya dapat dihasilkan oleh seorang lagi pemain gantian, Horta, yang menyudahkan lintangan Joao Cancelo pada minit ke-82.

Sepanyol seterusnya akan meneruskan saingan dengan bertandang ke laman Republik Czech awal pagi Isnin ini manakala Portugal pula akan menantikan kunjungan Switzerland pada hari yang sama.
 

Advertisement

Must Watch Video