Skip to main content

Bola Sepak

Leipzig keutamaan Bayern, bukan Dortmund -- Kimmich

joshua-kimmich.jpg
Joshua Kimmich menegaskan Bayern Munich tidak memikirkan tentang Borussia Dortmund, sebaliknya memberikan tumpuan menamatkan permulaan cemerlang RB Leipzig.

Dortmund mengalami kekalahan mengejut 3-1 kepada Union Berlin kelmarin untuk membenarkan Leipzig sebagai satu-satunya pasukan yang kekal dengan rekod kemenangan selepas tiga perlawanan.

Bayern meraih dua kemenangan berturut-turut selepas terikat dengan Hertha Berlin dalam aksi pembukaan dan bakal berdepan skuad kendalian Julian Nagelsmann itu dalam perlawanan seterusnya.

Kimmich turun dalam ketiga-tiga perlawanan Bayern setakat ini dan tidak sabar menantikan pertembungan di Arena Red Bull, 14 September ini.
"Kekalahan Dortmund bukan topik perbualan kami," kata Kimmich. "Kami baru sahaja melepasi tiga perlawanan, banyak lagi peningkatan yang harus kami lakukan.

"Bayern sudahpun keciciran mata. Kami perlu berusaha meraih lebih banyak mata untuk muncul juara sekali lagi.

"Leipzig bermula cemerlang selepas merakamkan tiga kemenangan. Kami akan bertemu mereka selepas ini dan mahu memastikan rekod cemerlang mereka berakhir."
Union Berlin meraih kemenangan pertama dalam aksi Bundesliga mengatasi Dortmund dan pemain tengah Bayern, Philippe Coutinho, yang melakukan penampilan sulung ketika mengatasi Mainz 05 6-1, percaya ia merupakan petanda saingan di Jerman sukar diduga.

"Dortmund adalah pasukan yang berkualiti. Saingan Bundesliga sangat kompetitif. Kami perlu bersedia dalam setiap perlawanan.

"Kami masih lagi dalam fasa permulaan dan mahu meraih sebanyak mata yang mungkin untuk menjulang gelaran penghujung musim ini."

Advertisement

Must Watch Video