PSG 2 MARSEILLE 1

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, dan pertahanan tengah, Marquinhos, mengkritik penyokong sendiri atas sokongan hambar mereka dalam kemenangan 'Le Classique' 2-1 menentang Marseille di Parc des Princes, awal pagi tadi.


Ketiga-tiga gol itu hadir dalam babak pertama yang menyaksikan Neymar memecah kebuntuan pada minit ke-12, sebelum Duje Caleta-Car menyamakan kedudukan apabila menyambut sepakan sudut Dimitri Payet, 20 minit kemudian.

PSG dihadiahkan sepakan penalti yang boleh diragui selepas tendangan Neymar terkena siku pertahanan Marseille dan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkannya untuk Kylian Mbappe menjadikan kedudukan 2-1.

Marseille mengawal permainan sebaik keluar dari bilik persalinan dengan lebih 60 peratus penguasaan bola dan hampir menyamakan kedudukan apabila William Saliba menyambut sepakan percuma Payet pada minit ke-85, tetapi VAR membatalkannya kerana ofsaid.

Dengan kemenangan itu, PSG kini mendahului 15 mata sambil dihambat Marseille dengan baki enam perlawanan, tetapi Pochettino berkata sokongan yang ditunjukkan penyokong seolah-olah mereka bukan sebuah kelab yang sedang memburu kejuaraan liga.

“Kami masih menantikan aura penyokong untuk membangkitkan semangat kami,” katanya.

"Mereka menunjukkan kekecewaan -- dan seperti yang saya selalu katakan, memang ada kebebasan bersuara, jadi itu adalah cara mereka meluahkan perasaan dan kami perlu menghormatinya. Tetapi kami sentiasa menagih sorakan daripada peminat.




"Memenangi gelaran ke-10 dalam sejarah kelab bukanlah perkara remeh dan kami ingin menikmati pengalaman ini bersama mereka."

Dilaporkan bahawa wakil kumpulan penyokong tegar kelab itu, Virage Auteuil, mendesak lebih banyak perubahan dilakukan oleh barisan ahli lembaga pengarah dan pengurusan selepas laluan mereka dalam Liga Juara-Juara disekat Real Madrid, tetapi Marquinhos berkata tuntutan sebegitu tetap mengejutkannya.

"Saya tidak menjangkakannya. Ia bukan waktu yang sesuai untuk berbuat demikian," katanya.

"Saya faham jika mereka tidak mendapat jawapan tetapi mereka sepatutnya berbangga dengan sebelah pihak lagi. Sebagai pemain, saya tidak bersetuju dengannya."