Skip to main content

Bola Sepak

Kredibiliti pengurusan PSM dipersoal

kamarul-fam.jpg
Ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, mempersoalkan di mana pembaharuan yang dibawa pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas memasuki setahun pertukaran.

Janji untuk mewujudkan suasana Stadium Wembley di Stadium Nasional Bukit Jalil masih belum berlaku dan hal ini jadi persoalan.

Beliau menegaskan pelbagai isu mula timbul sebaik tamat final Piala FA di antara Perak dan Kedah, Sabtu lalu, antaranya melibatkan sampah-sarap dan penyokong mula dipersalahkan.

Bagaimanapun, isu itu mungkin dapat dikurangkan andai ada usaha pembaharuan daripada PSM sendiri, terutama melibatkan sistem tiket bernombor.

"Kalau pernah dengar, sebelum ini pernah dinyatakan bahawa menonton bola sepak di Bukit Jalil untuk menikmati pengalaman di Wembley tetapi kalau sistem tiket bernombor pun tak boleh buat, tak payah cerita tentang Wembley. Saya rasa sudah hampir setahun. Takkan sistem tiket bernombor tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Kamarul Ariffin lantang dalam mempersoalkan kredibiliti pengurusan baru PSM dan jika tiada pembaharuan, dia menuntut pengunduran daripada individu yang bertanggungjawab.

"Kalau sistem tiket bernombor, ia boleh dikenal pasti. Malah boleh dijual mahal atau murah berdasarkan tempat duduk. Jadi, perlu berfikirlah. Siapa yang dilantik dan kalau rasa tidak mampu, keluar dan beri laluan kepada orang lain."

Sementara itu, Kamarul Ariffin yang juga merupakan pengurus PDRM FA memberi jaminan isu pelesenan kelab bakal selesai dalam masa terdekat.

Sabah dan PDRM yang berjaya mengisi dua slot teratas Liga Perdana 2019 bakal membawa cabaran lebih besar dalam saingan Liga Super musim depan.

Namun, kedua-dua pasukan itu perlu memperkemaskan semula lesen kelab yang menjadi syarat utama untuk setiap pasukan dalam saingan Liga Super.

"Saya rasa tiada masalah besar, cuma kami akan selesai beberapa perkara. Saya dimaklumkan perlesenan kelab itu sudah selesai 80 peratus. Selebihnya, insya-Allah akan dilengkapkan sebelum tarikh akhir," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video