Skip to main content

Bola Sepak

Kompany gesa pemain muda City contohi kesabarannya

kompany.jpg
Vincent Kompany berharap dia mampu menjadi contoh kepada pemain muda Manchester City selepas mengatasi masalah kecederaannya dengan melengkapkan aksi selama 90 minit dalam kekalahan 2-1 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, awal pagi tadi. 

Ketua pasukan itu dihantui masalah kecederaan sejak beberapa musim lalu apabila kecederaan betis dan pangkal paha membelenggunya, sebelum dia mengalami kecederaan lutut ketika menentang Crystal Palace pada November lalu.

Untuk itu, perlawanan di Stamford Bridge adalah aksi sulung Kompany dalam kesebelasan utama meskipun dia sempat memainkan peranan kecil dalam saingan Piala FA ketika menang 3-0 di Selhurst Park, Januari lalu. 

Masalah kecergasan menyaksikan pemain berusia 30 tahun itu sekadar memanaskan bangku simpanan buat kali kelapan dalam saingan liga musim ini ketika seri 2-2 di Arsenal pada hujung minggu lalu.

Kerapuhan benteng pertahanan di Stadium Emirates memaksa Pep Guardiola untuk menyenaraikan Kompany -- yang telah memberi sumbangan besar dalam kejayaan City sepanjang enam tahun lalu -- bagi mengekang asakan Chelsea.

"Ia bukan permainan yang paling mudah untuk mendapatkan kembali rentak tetapi apa yang saya mahu menasihati pemain muda adalah saya boleh tampil mengeluh dan mengadu kerana tidak diturunkan," katanya kepada BT Sport.

"Saya bekerja keras untuk menunggu satu peluang berdasarkan kesempatan yang ada, saya memberi sumbangan kepada pasukan. Itulah yang saya mahu lakukan."

City kini kemarau kemenangan dalam empat perlawanan liga dan Kompany menganggap perebutan untuk layak ke Liga Juara-Juara perlu diberi tumpuan kerana akur kedudukan Chelsea di puncak semakin sukar dicabar. 

"Mengenai kedudukan kami, kami akan terus berjuang habis-habisan," katanya berikutan Chelsea memiliki kelebihan 14 mata ke atas City yang berada di tangga keempat manakala empat mata di depan Manchester United dan Arsenal.

"Sentiasa ada sasaran baru. Sasaran kami ialah Liga Juara-Juara dan diharapkan, kami dapat mara ke perlawanan akhir Piala FA."

Pengurus City, Guardiola, mengakui pasukannya mungkin berada di kedudukan lebih selesa jika kapten mereka itu dapat diturunkan sepanjang musim ini. 

 

Advertisement

Must Watch Video