Skip to main content

Bola Sepak

Ketumpulan penyudah terus kecewakan Irfan

ib2.jpg
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui masih belum berpuas hati dengan persembahan pasukannya meskipun mengatasi Sabah 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

“Terlalu banyak peluang yang gagal disempurnakan pemain-pemain, terutama prestasi penyerang, Federico Falcone, dan dua gol hanya terhasil menerusi situasi bola mati.

“Kami bernasib baik bola itu menerjah jaring pasukan lawan dan saya kurang berpuas hati dengan ketumpulan penyudah pasukan ini.

“Seperti perlawanan lalu, kami membazirkan deretan peluang demi peluang walaupun sudah ditekankan dalam sesi latihan.

“Apa pun, saya menerima keputusan ini dan tiga mata diraih tetap berharga buat kami,” tambahnya.

Beraksi selaku tuan rumah, Terengganu tampil garang dengan percubaan minit kesembilan, malangnya sepakan lambung Issey Farran Nakajima ditumbuk keluar penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Rozaimie terus cemerlang menggagalkan rembatan jarak dekat Mohd Faiz Mohd Nasir yang menerima hantaran Muhd Ferris Danial pada minit ke-23.

Gol pendahuluan Sang Penyu muncul pada minit ke-32 hasil sepakan percuma menarik Mohd Faiz selepas Muhd Shahrin Sapien dikasari Sabri Sahar di depan kotak penalti Sabah.

Enam minit bersambung dalam babak kedua, Lazaro Vinicious menggandakan kedudukan 2-0 selepas menanduk masuk sepakan percuma Adib Aizuddin Ab Latif.

Terengganu hampir mendapat gol ketiga, namun sepakan percuma Issey sekadar mengenai palang gol Sabah (m-80).

Pasukan pelawat terus dirundung malang selepas menamatkan perlawanan dengan 10 pemain gara-gara kad merah yang dilayangkan kepada Dendy Lowa yang memijak Issey.

Riak kecewa pula terserlah bagi ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, yang menyifatkan mereka tewas kepada lawan yang lebih baik.

“Saya mengharapkan keputusan yang positif dan membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Masih banyak yang perlu diperbaiki dan diakui ia tugas berat sejak saya mengambil alih pasukan ini selain perlu menaikkan moral pemain-pemain untuk perlawanan seterusnya,” ujar Jelius.

Advertisement

Must Watch Video