Skip to main content

Bola Sepak

Kepimpinan baik Peter antara faktor kejayaan Tambadau -- Jelius

sabah-(safa),-datuk-peter-anthony.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata kepimpinan baik pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, telah banyak membantu pasukan itu sehingga berjaya mencapai sasaran utama layak beraksi dalam Liga Super musim depan. 

Katanya, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, bukan saja sentiasa memastikan kebajikan pemain terjaga, malah sentiasa hadir memberi sokongan kepada skuad Tambadau dalam setiap perlawanan. 

"Saya secara peribadi sangat berterima kasih kepada beliau kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan pasukan musim ini sehingga kini. 

"Beliau (Peter) sentiasa bekerja keras, bukan saja memastikan keperluan serta kebajikan pasukan dan pemain terjaga dan beliau sendiri hadir dalam setiap perlawanan, bukan saja di gelanggang sendiri. malah di tempat lawan.

"Saya dan seluruh pasukan amat menghargai sumbangan yang diberikan pemangku presiden SAFA, beliau antara faktor kami berjaya mencapai sasaran utama seperti yang diharapkan beliau, iaitu layak ke Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Jelius berkata dia dan rakan-rakan dalam pasukan, termasuk pemain, akan terus berusaha dan bekerja keras untuk membalas kepercayaan serta peluang yang diberikan.

Katanya, sasaran mereka ketika ini adalah bagi memastikan Tambadau menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi dengan menjuarai saingan Liga Perdana. 

"Kami sudah mencapai sasaran ke Liga Super dan fokus utama kini adalah untuk menjulang trofi Liga Perdana. Kami masih belum boleh berasa selesa walaupun hanya perlu memenangi satu daripada baki tiga perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Jelius berkata tiga tonggak utamanya terpaksa diketepikan dalam aksi bertemu UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, Selasa ini, berikutan digantung perlawanan. 

Katanya, dua pemain pertahanan, termasuk seorang import, iaitu Park Taesu dan Randy Baruh Samson, digantung dua perlawanan kerana telah mengumpul enam kad kuning manakala seorang lagi pemain import di bahagian tengah, Ahmet Atayev, digantung satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning.

"Dengan ketiadaan Park, Randy dan Atayev, kami terpaksa menerbangkan tiga pemain ke sini, iaitu Mohd Azzizan Nordin, Ummareng Bachok serta Mazlan Yahya untuk disenaraikan dalam 18 pemain nanti. 

"Tempat Park nanti akan digantikan dengan Maffry (Balang) manakala tempat Randy dan Atayev masing-masing akan digantikan dengan Dendy (Lowa) serta Azzizan," ujarnya.

Tambah Jelius, pasukan Tambadau meneruskan latihan di Johor Bahru selepas aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT II) di Pasir Gudang, kelmarin, dan mereka akan ke Shah Alam esok untuk persiapan menghadapi UiTM FC.

Advertisement

Must Watch Video