Prestasi penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula, hanya dinilai dalam 90 minit permainan hingga mengundang pelbagai kecaman terhadap pemain kelahiran Brazil itu.

Malaysia rebah 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam baki kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai itu, minggu lalu, yang menyaksikan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, berdepan tuntutan hebat supaya merombak pasukan kebangsaan termasuk membabitkan pemain naturalisasi untuk berdepan Vietnam dan Thailand.

Hakikatnya, penyerang yang bakal mencecah umur 35 tahun itu masih lagi menyimpan hasrat besar untuk membantu negara layak ke Piala Asia.

Mungkin pertemuan dengan Vietnam, awal pagi Sabtu ini, akan menjadi medan demi mengembalikan semula kepercayaan mengenai kebolehan sebenarnya selain menghidupkan peluang Harai Malaya ke peringkat seterusnya.

Rela atau tidak, De Paula perlu menggalas harapan tinggi untuk menjadi mesin gol negara.

"Buat peminat Malaysia, mereka perlu percaya dengan tugasan kami di sini, tiada tiada ke mari untuk menikmati cuti.

"Kami bekerja keras setiap hari, pagi, sesi. Kami bermain untuk lebih 30 juta penyokong selain diri kami sendiri," katanya menjelang aksi ketujuh negara dalam Kumpulan G itu.

Penilaian dalam perlawanan lalu semata-mata dianggap tidak wajar, justeru pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menagih peluang kedua bertemu Vietnam.

Begitupun, segala tanggapan negatif yang dilemparkan kepadanya sama sekali tidak melunturkan semangatnya.

"Tiada siapa nampak usaha kami di sini tetapi mewakili lebih 30 juta rakyat Malaysia, kami berjuang untuk ke pusingan ketiga.

"Saya amat yakin dengan sentuhan sendiri. Saya tidak pernah mengubah pendekatan, tidak pernah mengambil jalan pintas dan saya masih kekalkan laluan ini kerana saya tahu kemampuan sendiri," katanya.





Dia kini warga negara Malaysia dan berhasrat membalas jasa itu dengan menonjolkan sentuhan terbaik demi mengisi harapan rakyat Malaysia yang mahu melihat skuad negara layak beraksi di pentas Piala Asia 2023.

"Kami perlu fokus dari awal hingga minit terakhir.

"Saya akan curahkan segala kudrat. Saya sentiasa memberikan yang terbaik termasuk buat negara.

"Setiap perlawanan ibarat perlawanan akhir , mungkin orang lain tidak nampak tetapi saya tahu matlamat yang ingin dicapai dalam karier terutama di Malaysia."