Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: Cheng Hoe sasar benam Indonesia

cheng-hoe.jpg
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menyasarkan kemenangan dalam aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, September depan, meskipun ia tugas mencabar di laman lawan, Indonesia.

Keputusan dalam aksi pertama itu akan menentukan hala tuju skuad negara dan pengendali berkenaan mahu pemain cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan mengikut DNA bola sepak Malaysia yang dicanang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini. 

"Saya harap kami akan terus meningkat lagi pada masa depan dan sudah pasti ia adalah cara bola sepak moden.

"Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

"Apa yang penting buat skuad kebangsaan adalah keputusan (yang baik)," katanya.

Dalam pada itu, penyerang negara, Ahmad Hazwan Bakri, berkeyakinan untuk memberikan sumbangan buat pasukan biarpun kurang mendapat minit perlawanan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini.

Bekas bintang Selangor itu bersedia untuk menggandakan usahanya dalam sesi latihan menjelang aksi persahabatan dengan Jordan, Jumaat ini, bagi memastikan tempatnya ketika bertemu Indonesia.

"Ya, saya tahu saya jarang bermain di sana (JDT), itu saya tidak pertikaikanlah sebab di sana memang ramai pemain yang berkualiti.

"Mungkin ini masanya untuk saya mencurahkan pengalaman yang ada," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengurus skuad negara, Datuk Yusoff Mahadi, mengambil pendekatan untuk sentiasa berhubung dengan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi mengelakkan insiden yang berlaku pada 2010 berulang.

Ketika itu, skuad negara terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk masuk ke stadium sebelum menidakkan Indonesia dalam final Piala Suzkuki AFF, sembilan tahun lalu.

Beliau menyarankan agar pemain tidak mencetuskan provokasi ketika beraksi di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, 5 September ini.

"(Kami) sentiasa berbincang untuk mencari penyelesaian supaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

"Jadi, memang setakat ini, kami memang selalu dan sudah menghantar wakil kami ke sana untuk berbincang bagi memastikan ia tidak berlaku lagi.

"PSSI sendiri sudah memberikan jaminan bahawa perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi," katanya.

Advertisement

Must Watch Video