Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: Abraham berterima kasih peranan penting Mourinho

abraham.jpg
Tammy Abraham gembira kerana dia tidak mengambil pilihan mudah dengan kekal di Chelsea sambil berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Jose Mourinho sejak berpindah ke Roma.

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai kelab Itali berkenaan dua bulan yang lalu selepas bergelut sejak kedatangan Thomas Tuchel di Stamford Bridge pada Januari lalu.

Dia menyumbangkan dua gol dan dua bantuan jaringan dalam tujuh perlawanan pertamanya bersama kelab Serie A itu dan dipuji cepat menyesuaikan diri di negara baru, secara tidak langsung menjadikan kegemaran peminat dan melayakkannya kembali disenaraikan dalam skuad England untuk menghadapi Andorra dan Hungary dalam kelayakan Piala Dunia, Ahad ini serta Rabu depan. 

Abraham telah berada di Chelsea pada 2004 lagi, tetapi dia hanya membuat 82 penampilan sejak melakukan kemunculan di peringkat senior pada Mei 2016, namun memutuskan untuk mencari angin baru Ogos lalu. 

Selepas tiga kali dipinjamkan, pemain antarabangsa England itu termakan pujukan untuk meninggalkan kelab London barat berkenaan secara tetap oleh bekas pengurus The Blues tersebut. 

"Saya mempunyai beberapa pilihan," kata penyerang itu. 

"Banyak kelab yang saya bercakap pada masa itu.

"Kemudian saya bercakap dengan Jose. Dia mempunyai matlamat. Saya tahu ke mana dia mahu membawa Roma jadi saya mahu menjadi sebahagian daripada proses itu.

"Dia benar-benar menaruh kepercayaan kepada saya, oleh itu dia memberi kesan besar kepada mengapa saya memilih Roma.

"Saya mengangkat telefon kemudian dia bertanya, 'adakah anda ingin menikmati sinar matahari atau sanggup ditimpa hujan?'

"Saya belajar banyak taktik. Ia bagus. Anda perlu belajar daripada pengurus yang berbeza. Sekarang, saya banyak belajar."

 


Abraham memberi saingan hebat merebut tempat dalam skuad utama Chelsea dalam pusingan pertama musim lalu dengan menjaringkan 11 gol dalam 25 perlawanan sebelum kehadiran Tuchel pada 26 Januari.

Bekas pemain pinjaman Aston Villa itu hanya digunakan tujuh kali oleh Tuchel dan sempat menokok satu gol lagi untuk sebaris dengan penjaring terbanyak, Timo Werner, masing-masing meledak 12 kali.

Menyorot semula pusingan kedua musim 2020-21, Abraham berkata: "Pada mulanya ia agak sukar untuk ditangani.

"Saya kerap beraksi tetapi kemudian tidak diturunkan malah kadang-kadang langsung tiada dalam senarai di bangku simpanan. Sampaikan di satu tahap di mana saya duduk dan bercakap dengan diri sendiri.

"Saya tetap berlatih dan melakukannya demi diri sendiri. Saya berlatih untuk memperbaiki diri sambil mengelak untuk menunjukkan kekecewaan, berasa marah mahupun memburukkan pasukan. 

"Bagi saya sebaliknya. Saya belajar mengenali diri dan ia menguatkan pemikiran saya. Saya bersama pasukan setiap kali mereka memerlukan saya.

"Pemain seperti Mason Mount, Reece James, Callum Hudson-Odoi, mereka pemain yang lebih muda dari saya. 

"Saya perlu menyokong, memberi dorongan dan membantu mereka.

"Saya mempunyai cita-cita dan matlamat yang saya tetapkan sendiri. Iaitu turun beraksi sebaik mungkin bagi membuktikan segala kemampuan sebenar saya.

"Pilihan yang mudah adalah kekal. Chelsea adalah sebuah kelab besar, mereka akan bersaing dan berusaha memenangi piala, jadi pilihan yang mudah adalah dengan bertindak sebegitu.

"Saya sedar bahawa saya perlu keluar dan membuktikan diri. Saya mengambil keputusan drastik dan ia menjadi keputusan yang tepat."




 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video