Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia 2022: Cheng Hoe akur perlu pertajam serangan

tan-cheng-hoe_2.jpg
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengakui kepentingan tiga mata di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebagai menepati hasrat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk melihat kemenangan dilakar skuad negara ketika berdepan Indonesia, Khamis ini. 

Bekas pengendali Kedah itu sedar harapan yang diberikan itu bukan hanya melibatkan penyokong negara, malah dalam perhatian penuh pihak pengurusan FAM yang menuntut kemenangan pertama dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu. 

Keutamaannya adalah untuk mencari slot penting dalam Piala Asia 2023. Ini kerana sebarang kedudukan bakal menjamin undian yang lebih baik untuk proses kelayakan itu.

"Setakat ini, kami melaksanakan tugasan dengan baik sejak tahun lalu lagi. 

"Saya ingin tingkatkan persembahan pasukan kerana menguasai bola sahaja tidak cukup kerana kami perlu menyumbat gol untuk mendapatkan kemenangan," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Melangkah ke Piala Asia merupakan hasrat yang tidak tertunai sejak sembilan tahun lalu.

Cheng Hoe yang ketika itu hanyalah seorang penolong jurulatih mengakui tanggungjawab yang perlu dilunaskan demi mencapai misi yang ditetapkan.

Saranan daripada presiden FAM itu, yang mahu melihat tiga mata dibawa pulang, menjadi suntikan semangat buat skuad Harimau Malaya yang akan berlepas ke Jakarta, esok. 

"Langsung tidak mustahil untuk skuad negara menang di sana. 

"Dan sebagai presiden dan FAM, untuk (melunaskan) cita-cita ke Piala Asia, kami perlu bermula (dengan tiga mata)," kata Hamidin. 

Advertisement

Must Watch Video