Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya makin serasi acuan Kim Pan-gon

akhyar-rasyid.jpg
MALAYSIA 2 HONG KONG 0 

Skuad kebangsaan mencipta kemenangan kedua sebagai persiapan untuk menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 dengan menjinakkan Hong Kong 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. 


Meskipun ia bukan gambaran sebenar kemampuan Harimau Malaya, ia menjadi satu bekalan motivasi terbaik dengan percaturan yang diterapkan Kim Pan-gon

Darren Lok mempamerkan permainan menarik untuk cuba menambat barisan kejurulatihan negara dan penyerang Petaling Jaya (PJ) City itu turut memiliki kesempatan untuk merobek gawang lawan. 

Akhyar Rasyid sekali lagi menggunakan kelincahannya apabila memenangi sepakan penalti yang kemudian disudahkan Safawi Rasid pada minit ke-31.




Selepas memberikan tekanan berterusan dengan 15 percubaan tepat ke arah kubu pelawat, kedudukan masih 1-0 malah memasuki 15 minit terakhir, Hong Kong mula mengintai kesempatan. 

Namun, Safiq Rahim -- yang dilayangkan kad merah dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di tempat lawan pada 2017 selain merekodkan jaringan antarabangsa terakhir pada 2015 -- memadam segala keraguan untuk membunuh sisa semangat juang Hong Kong dengan meledak jaringan daripada sepakan percuma. 

"Saya cuba terapkan permainan agresif dan membentuk karakter permainan pasukan ini.

"Pemain mengejutkan saya, mereka telah berikan usaha dan semangat, saya perlu puji barisan pemain. 

"Secara amnya semuanya bagus walaupun patut lebih banyak jaringan lagi. 

"Tapi kita perlu bagi mereka masa lagi, sudah lama Malaysia tidak bermain seperti ini dan kita perlu berikan mereka masa," kata Pan-gon. 

Pertahanan pusat negara, Shahrul Saad, pula menganggap sesi latihan selama beberapa minggu ini memberi ruang kepada mereka untuk memahami falsafah yang mahu ditanam oleh jurulatih dari Korea Selatan itu. 

"Kami tahu kekuatan Hong Kong dan dengan bermain di tempat sendiri, latihan selama beberapa minggu ini membuahkan hasil.

"Ia keputusan yang baik untuk mulakan saingan Piala Asia. 

"Walaupun tidak banyak menguasai bola, kami lebih kerap lancar serangan, ia satu petanda positif," katanya.  

 

Sementara itu, Ariff Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang sering membuat acahan dari sebelah sayap kanan menyifatkan mereka mula serasi dengan pendekatan baru skuad negara. 

"Saya masih tidak berpuas hati dengan perlawanan saya akan cuba lagi sampai saya berpuas hati," kata Ariff. 

Menurut Faisal pula: "Dalam kempen sebelum ini, kami kekurangan bilangan pemain ketika menyerang dalam kotak penalti, tetapi kali ini lebih lancar."

 

Advertisement

Must Watch Video