Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya berjaya buktikan sesuatu -- Cklamovski

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

peter-cklamovski.jpg
Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski, berkata kemenangan ke atas Nepal malam ini menjadi bukti bahawa setiap anak buahnya mampu menjadi sandaran. 

Faisal Halim menjadi wira buat Harimau Malaya dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menerusi jaringan tunggalnya, secara tidak langsung menyaksikan skuad negara menutup kempen tahun ini tanpa kalah. 

Begitupun, skuad negara memulakan aksi dengan langkah kiri berikutan kecederaan yang menimpa pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi, pada minit ke-10. 

Situasi itu memaksa Cklamovski memasukkan Faisal yang kemudiannya menjadi pencetus kepada mata penuh buat Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.  

"Saya kesal, saya harap keadaannya OK kerana saya belum tahu perkembangannya .

"Tapi ini satu pengajaran bahawa kami tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. 

"Setiap pemain yang dimasukkan percaya dengan bola sepak sendiri dan sesama sendiri.

"Malangnya kami kehilangan pemain terlalu awal tetapi pasukan telah menunjukkan karakter untuk mendapatkan ganjaran kepada negara," katanya selepas perlawanan.

Cklamovski tetap puas dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya dan enggan menunding jari biarpun melepaskan peluang-peluang menarik sejak sepak mula. 

"Kami bersabar dan kekalkan tempo kerana lambat-laun pihak lawan akan kepenatan. 




"Kami tahu akan mendapat lebih banyak ruang. 

"Kami memulakan babak kedua dengan baik, mungkin pada hari yang lain kami akan menjaringkan dua atau tiga gol lagi tetapi inilah tahap bola sepak antarabangsa," katanya. 

Dia turut memuji pemain yang berhasil merealisasikan misi kali ini biarpun dihimpit isu luar padang ketika ini. 

Ia memberi isyarat kepadanya bahawa api perjuangan anak buahnya tidak pernah padam. 

"Saya sangat bangga untuk menerajui kumpulan pemain ini setiap hari kerana memberi inspirasi kepada saya. 

"Sudah tentu sebagai pemain, pasukan dan yang paling penting sebagai rakyat.

"Kami hanya fokus kepada mutu persembahan pada malam ini dengan mentaliti (positif) apabila tidak bolos dan mengutip tiga mata.

"Kami ingin jaringkan lebih gol pada malam ini dan mempunyai beberapa peluang menarik. 

"Saya mahu penyokong yang berada di rumah dan stadium berbangga dengan pemain dan Harimau Malaya kerana kami menutupkan 2025 tanpa kekalahan," katanya. 


 
Football

Sepak Padu Dengan Adidas

Ringan, power dan bergaya - kasut bola Adidas untuk semua.
Grab Sekarang

Advertisement

Must Watch Video