Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Euro 2020: Sentuhan berbisa Coman raih perhatian Deschamps

coman.jpg
PERANCIS 4 ALBANIA 1

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memuji prestasi Kingsley Coman dalam kemenangan selesa 4-1 ke atas Albania dalam kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.


Coman dua kali menemui sentuhan pemusnah di Stade de France di samping jaringan daripada Olivier Giroud dan pemain gantian, Jonathan Ikone, sementara Antoine Griezmann -- buat julung kalinya -- gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukan tuan rumah itu meraih kemenangan dalam Kumpulan H itu.

Gawang juara dunia itu pula ditembusi oleh sepakan penalti Sokol Cikalleshi sebelum wisel penamat. 

Ia merupakan jaringan pertama penggempur Bayern Munich itu di peringkat antarabangsa sejak Mac 2016 sehingga mengundang pengendalinya itu untuk menghamburkan pujian terhadap pemain berusia 23 tahun tersebut. 

"Dia sudah lama bersama kami. Dia sudah terbabit sebelum Euro (2016) dan ketika berusia lebih muda daripada itu lagi," katanya melalui L'Equipe selepas perlawanan. 

"Dia mengulangi aksi seperti ketika bersama Bayern Munich dalam tempoh setahun ini. Dia lebih tertarik untuk meledak gol dan berbisa.

"Dia sentiasa mempunyai keupayaan ini dalam menjejaskan kestabilan lawan. Ia adalah (satu perkembangan) menarik untuk melihatnya (beraksi) di tahap sedemikian."

Perlawanan itu tertangguh beberapa ketika ekoran kesilapan lagu kebangsaan Andorra dimainkan, yang menyebabkan Albania enggan memulakan perlawanan, sebelum penganjur bertindak membetulkan keadaan.

Kemenangan Les Bleus itu menyaksikan mereka kini mengumpul 12 mata untuk menyamai angka kutipan Turki dan Iceland dalam separuh kempen kelayakan itu. 

Anak buah Deschamps dikejutkan Turki, Jun lalu, dan biarpun jurulatih berkenaan gembira dengan tindak balas finalis Euro 2016 itu, dia menegaskan kekalahan tersebut tidak akan dilupakan.

"Kami tidak akan memadamnya (kekalahan itu), kami sudah menjawabnya tiga hari kemudian menerusi kemenangan di Andorra," katanya.

"Kami tidak dapat memadamnya dan ia tidak akan memberi ksempatan menebus apa yang kami telah gagal lakukan. Pada malam itu, kami langsung tidak melakukan apa-apa yang bagus. 

"(Ketika bertemu Albania) kami mempamerkan kemampuan sebenar, mencurahkan kualiti di luar (konteks permainan) bola sepak menerusi komitmen dan serangan agresif

"Saya tidak meragui mahupun khuatir bahawa barisan pemain saya tidak lagi mempunyai kapasiti seperti itu. Mereka telah membuktikannya. Cuma pada awal Jun lalu, kami tidak mengekalnya (ciri-ciri seperti itu)."

Perancis akan menyambung kempen mereka apabila Andorra datang bertandang untuk perlawanan awal Rabu ini.

Advertisement

Must Watch Video