Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Euro 2020: Ronaldo gembira, nikmati detik dilalui

cristianoronaldo-cropped_277e6rtrutw713llcly4mbd2f.jpg
Cristiano Ronaldo kini menikmati detik yang dilalui selepas menjaringkan empat gol untuk membantu Portugal membelasah Lithuania 5-1 dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Ronaldo tampil dengan aksi terbaik buat juara bertahan Euro itu dalam aksi Kumpulan B di Vilnius, meningkatkan jumlah jaringan peribadinya di pentas antarabangsa kepada 93 gol.

Pemain berusia 34 tahun itu sangat gembira untuk pasukannya selepas kemenangan besar itu membolehkan Portugal menduduki tangga kedua kumpulan dengan lapan mata.

"Saya sedang melalui detik yang bagus tetapi pasukan juga melakukannya dengan baik," kata Ronaldo.

"Saya gembira dan menikmati detik ini bukan kerana saya menghasilkan jaringan tetapi disebabkan tahap yang mampu kami jelmakan dalam beberapa tahun.

"Ia bergantung kepada saya untuk terus membantu pasukan kebangsaan."

Selepas mencatat dua keputusan seri ketika memulakan saingan, Portugal merakamkan kemenangan ke atas Serbia dan Lithuania.

Ronaldo berpendapat Portugal -- yang kini menduduki tangga kedua dengan kelebihan satu perlawanan -- semakin hampir untuk mengesahkan tempat dalam pusingan akhir tahun depan.

"Perkara paling sukar adalah untuk menang di Serbia dan sangat penting untuk meneruskannya di sini," tambahnya.

"Kami semakin hampir, memiliki dua perlawanan, satu di laman sendiri dan lawan. Saya fikir jika menang salah satu daripadanya, ia sudah mencukupi."

Portugal bakal melayan kunjungan Luxembourg sebelum bertandang ke Ukraine, bulan depan.

Advertisement

Must Watch Video