Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Euro 2020: De Bruyne buat Scotland gigit jari terlepas tiket automatik

belgium.jpg
SCOTLAND 0 BELGIUM 4

Steve Clarke mengakui harapan Scotland untuk melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Euro 2020 sudah berakhir sambil mendesak pasukannya untuk meraih tempat ketiga selepas impian mereka dimusnahkan oleh Belgium di Hampden Park.


Gol daripada Romelu Lukaku, Thomas Vermaelen, Toby Alderweireld dan Kevin De Bruyne menyaksikan pasukan nombor satu dunia itu melakar kejayaan 4-0 dalam pertembungan Kumpulan I itu, awal pagi tadi, untuk meninggalkan tuan rumah di tangga kelima.

Dengan dua kedudukan teratas menawarkan kelayakan automatik, secara dasarnya ia sudah di luar jangkauan Scotland -- tercicir 12 mata di belakang pendahulu, Belgium, dan sembilan di belakang Russia.

Sehubungan itu, sisa-sisa harapan pasukan pimpinan Tim Clarke itu bergantung kepada perlawanan play-off selepas memenangi kempen Kumpulan I, Liga Negara-Negara. 

Clarke berkata adalah penting untuk Scotland membina momentum dan menamatkan perjuangan setinggi yang mungkin di peringkat kumpulan itu menjelang perlawanan Mac depan yang boleh menentukan sama ada mereka mampu layak ke kejohanan besar pertama dalam tempoh 22 tahun.

"Kami perlu merebut kelebihan kedudukan kumpulan untuk peluang layak," kata ketua jurulatih itu kepada Sky Sports. 

"Kami perlu menyasarkan kedudukan ketiga. Ada 12 mata lagi untuk dimenangi, jadi kami perlu pastikan untuk menamatkan kempen di tempat ketiga kumpulan -- ia penting untuk ranking dan undian kelak. 

"Ini bermakna kami akan bermain dengan baik, memenangi beberapa perlawanan dan memungut mata yang akan menyalakan kepercayaan kami menuju ke perlawanan akhir, Mac depan."

Menurutnya lagi: "Jelas sekali ia sukar untuk mencuba dan menelan kekalahan 4-0. Sangat sukar untuk bersikap positif.

"Tetapi anda perlu melihat bagaimana pasukan itu dibentuk, cara kami cuba berikan tekanan yang menyaksikan kami dapat melakukan dengan baik pada suatu ketika.

"Kami menguasai bola dengan baik, hampir 50-50 selain mencipta beberapa peluang. Kami kelihatan seperti pasukan yang baik tetapi kami tidak boleh lari daripada hakikat keputusan (buruk) ini."

"Pertahanan kami telah melepaskan banyak gol -- satu ketika menentang Cyprus, tiga dengan Belgium, dua dengan Russia serta empat gol pada malam ini," tambahnya. 

"Kalau kami dibolosi, adalah sukar untuk memenangi perlawanan."

Sementara itu, jurulatih Belgium, Roberto Martinez, gembira dengan persembahan pasukannya untuk mengekalkan rekod 100 peratus dalam saingan Kumpulan I.

"Kami sudah hampir layak, kami akan bertemu San Marino selepas ini," katanya. "Kini, adalah penting untuk menjadi pasukan teratas kumpulan. Ia satu prestasi yang sangat memuaskan, kami menggabungkan kualiti yang kami ada dengan kerja keras sejak permainan bermula."

De Bruyne, yang mencipta tiga bantuan gol sebelum turut menyumbat satu jaringan, menambah: "Ia bukan persembahan bertaraf dunia, kami hanya melaksanakan apa yang harus dilakukan, saya hanya melakukan tugas saya. 

"Kami sedar kemenangan akan menghampirkan kami untuk layak, itu yang paling mustahak."

 

Advertisement

Must Watch Video