LIGA SUPER MSIA
Kelantan tidak gentar hadapi Pahang
Kelantan tidak gentar dengan prestasi konsisten Pahang dan sedia memberikan tentangan kepada lawan mereka itu dalam aksi Liga Super, esok.
Selepas berehat hampir tiga minggu, saingan Liga Super bersambung semula dengan Pahang menjadi cabaran The Red Warriors.
Nyata tempoh itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengatasi segala kelemahan di samping memperbaiki corak permainan buat skuad kendalian Zahasmi Ismail ini.
Iklan
Lantas, pertemuan menentang skuad Tok Gajah menjadi medan terbaik untuk menguji sejauh mana tahap persembahan Kelantan mampu ditingkatkan.
"Rehat terlalu lama, jadi kami agak risau kerana kami kekurangan perlawanan.
"Persiapan untuk beberapa hari ini ada menampakkan kesungguhan pemain," kata Zahasmi.
Dalam pada itu, Zahasmi masih meneliti tahap kecergasan dua tonggak import, Mohamad Ghaddar serta Mamadou Danso selepas mereka terbabit dengan tugasan antarabangsa sebelum ini.
Mereka hanya kembali melaporkan diri beberapa hari lalu dan tahap kecergasan mereka masih dinilai dalam sesi latihan, hari ini.
Selain itu, Kelantan juga masih dibelenggu dengan kecederaan yang menimpa beberapa pemain, antaranya Daudsu Jamaluddin, Norfarhan Mohamad dan Zairul Fitree Ishak.
"Ada pemain yang mengalami kecederaan dan keadaan mereka belum dapat dipastikan. Insya-Allah kami perlu bentuk kesebelasan yang terbaik," tambah Zahasmi.
Must-Watch Video