Skip to main content

Bola Sepak

Jelius gembira Ramos sumbat gol

ramos3218.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, gembira kerana penyerang import mereka, Hector Pito Ramos, menyumbat gol dalam aksi pertama Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Beliau berkata walaupun masih belum cergas dan bersedia sepenuhnya, Ramos ternyata mampu menyukarkan pertahanan lawan, malah akhirnya dapat menjaringkan gol.

"Saya dan pengurus (Datuk Juil Nuatim) sangat berpuas hati, kami menyenaraikan beliau tanpa 'trial', ia bukan satu keputusan yang mudah tetapi berdasarkan beberapa faktor, saya berkeyakinan bahawa dia seorang pemain yang baik.

"Dia (Ramos) baru menyertai kami selama kira-kira dua minggu dan semakin menyesuaikan diri dengan pasukan, khususnya dalam kalangan pemain tempatan.

"Hari ini (malam tadi), dia telah buktikannya dan berjaya menjaringkan gol," katanya ketika ditemui selepas perlawanan bertemu Terengganu FC (TFC) II di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Penyerang Puerto Rico berusia 28 tahun itu berjaya meledak gol menerusi rembatan kaki kiri cantik selepas menerima umpanan Heo Jaenyong dalam masa tambahan permainan.

Selain jaringan Ramos, aksi malam tadi menyaksikan Sang Badak meratah TFC II 4-0 selepas dua lagi jaringan menerusi ketua pasukan, Rawilson Batuil, pada minit ke-56 dan 79 serta jaringan pada minit keempat oleh Lee Gil Hoon.

Tambah Jelius, beliau yakin sekiranya Ramos berada dalam keadaan 100 peratus cergas dan bersedia, dia mampu menjadi antara penyerang digeruni dalam Liga Malaysia.

Terdahulu, Juil ketika ditemui memuji semangat juang yang ditunjukkan pemain sehingga membolehkan mereka menguasai perlawanan dan menjaringkan gol yang banyak.

"Ini antara perlawanan pembukaan yang terbaik selepas beberapa musim. Sebelum ini, Sabah mulakan kebanyakan kempen dengan keputusan seri atau kalah.

"Saya harap mereka meneruskan momentum ini, namun pemain juga tidak boleh terlebih yakin. Mereka perlu fokus untuk terus cuba mendapatkan keputusan baik untuk pasukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video