LIGA SUPER MSIA
Izham sambut baik kepulangan tonggak import
Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, menegaskan skuad Harimau Selatan akan tampil dengan lebih garang untuk cabaran musim depan selepas kembali diperkuatkan tonggak import berpengalaman, Luciano Figueroa.
JDT mencetus sensasi apabila mengumumkan penyerang dari Argentina itu akan kembali daripada persaraannya untuk menyarung semula jersi pasukan berkenaan pada musim depan.
Malah, mereka turut bakal mendapatkan semula khidmat Jorge Pereyra Diaz selepas penyerang lincah yang juga dari Argentina itu meninggalkan JDT hujung musim lalu.
Iklan
Izham mengakui kehadiran Figueroa sememangnya mampu memastikan JDT tampil lebih ampuh selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
"JDT mempunyai sasaran tersendiri dalam (Piala) AFC atau ACL (Liga Juara-Juara AFC). Pengalaman ini yang perlu kami ada, khusunya untuk saya.
"Ia sesuatu yang baik untuk pasukan (kehadiran semula tonggak import). Tidak mustahil JDT terus maju dan juara dalam kejohanan musim 2018," katanya ketika majlis pelancaran kasut bola baru keluaran Adidas di ibu negara, semalam.
Predator 18 merupakan rangkaian kasut bola sepak yang menghasilkan kejayaan besar buat Adidas sejak ia diperkenalkan pada 1994.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran duta Adidas yang lain, antaranya kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi, kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, dan pemain tengah JDT, Afiq Fazail.
Must-Watch Video