Skip to main content

Bola Sepak

Isu tunggakan gaji: PFAM nafi buat kenyataan melulu

izham-pfam.jpg
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sekali lagi tampil menegaskan bahawa kenyataan berhubung beberapa pasukan masih mempunyai tunggakan gaji kepada pemain sehingga mencecah RM6.4 juta keseluruhannya bukan dibuat secara melulu.

Kali ini, ahli Jawatankuasa PFAM pula mengeluarkan kenyataan bahawa isu yang dibangkitkan mereka dibuat setelah pihaknya melalui tempoh rundingan, perbincangan dan beberapa siri tindakan susulan dengan pasukan terbabit.

Ia sekali gus menyangkal dakwaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menuduh PFAM mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, PFAM mengambil positif dakwaan tersebut dengan menjadikan kenyataan balas badan induk bola sepak negara itu sebagai bukti yang menunjukkan masih terdapat pihak yang peduli berhubung hak dan kebajikan pemain bola sepak di Malaysia.

"Secara jujurnya kami amat terkejut apabila beliau (Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam) menyelar kami atas kenyataan yang kami buat.

"Sedangkan, beliau sendiri telah bersetuju bahawa masalah tunggakan gaji di Malaysia perlu diselesaikan, malah kenyataan kami tidak pun ditujukan kepada FAM, mahupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, PFAM turut memberikan contoh kes, antaranya pasukan Pahang dan Negeri Sembilan melibatkan tuntutan gaji bekas pemain import, Alex de Morais, yang dipinjamkan skuad Tok Gajah kepada skuad Hobin Jang Hobin itu apabila kedua-dua pasukan bersetuju untuk berkongsi membuat bayaran gaji pemain tersebut.

"Dalam kes ini, pasukan Negeri Sembilan telah membuat perjanjian bersama pemain (Alex) pada 8 November 2018 bahawa mereka akan melunaskan semua tunggakan bayaran kepadanya pada 30 Jun 2019. 

"Sungguhpun begitu, bayaran tidak dibuat pada tarikh yang ditetapkan dan Negeri Sembilan memberi jaminan bahawa bayaran akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2019," katanya.

Menurut PFAM lagi, sehingga kenyataan pendedahan tunggakan gaji pemain dikeluarkan kelmarin, pertahanan itu mengesahkan yang dia masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan, malah pasukan Liga Super itu juga tidak memberi sebarang makluman terkini. 

"Pasukan Pahang juga tidak memberikan sebarang makluman terkini berhubung isu ini dan hanya memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan membuat bayaran pada bulan ini setelah kenyataan kami dikeluarkan," katanya.

Tambah PFAM, isu berkenaan juga belum mengambil kira kes pasukan Kelantan yang melibatkan tuntutan pemain-pemain seperti Brendan Gan, Noor Hazrul Mustafa, Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak, Amiridzwan Taj Tajuddin, Badhri Radzi dan beberapa orang lagi yang gaji mereka tertunggak serta berlanjutan hampir lima tahun.

"Dan pastinya yang paling perit adalah bekas pemain pasukan Perlis, Terengganu City FC, Hanelang FC, Kuantan FA dan Marcerra United yang terus tertanya-tanya akan untung nasib mereka," katanya.

Dalam pada itu, PFAM turut menegaskan gaji adalah isu paling asas dan sekiranya perkara itu tidak boleh diatasi, kesannya bakal menjadi penghalang kepada visi FAM mahupun MFL.

"Kami kesal tatkala FAM dan MFL sedang berusaha untuk membawa hala tuju bola sepak negara ke tahap yang lebih baik menerusi F:30 dan NEX50, masih terdapat pasukan yang dilihat tidak ‘senada’ menerusi tindakan mereka.

"Oleh sebab itu, kami sekali lagi melahirkan rasa kesal kepada Stuart apabila usaha kami untuk menyedarkan pasukan-pasukan ini bagi memastikan kita berada di landasan yang tepat ditempelak sendiri oleh beliau," katanya.

Pada masa sama, persatuan tersebut turut melahirkan rasa kecewa apabila setiausaha agung FAM berkenaan mengugut untuk mengkaji semula kerjasama bersama PFAM dan menganggap tindakan itu sebagai memberikan mesej yang salah kepada semua pihak bagi membantu pemain bola sepak yang ditindas pasukan mereka.

"Kami juga ingin meminta maaf kerana berfikiran sempit seperti yang dinyatakan oleh beliau (Stuart) tetapi pemikiran sempit inilah yang saban hari menerima panggilan daripada pemain yang bertanyakan tentang nasib mereka sama ada terbela ataupun tidak.

"Jika kenyataan kami ini menjadi sebab untuk semua pasukan termasuklah pihak FAM sendiri ingin memutuskan kerjasama dengan kami, maka fikirkanlah sejauh mana iltizam dan komitmen yang kita ikrarkan bersama selama ini untuk menjaga hak dan kebajikan pemain," katanya.

Semalam, FAM menerusi Stuart membidas tindakan PFAM yang membuat pendedahan berhubung tunggakan gaji pemain bola sepak di samping menyatakan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, tidak menjelaskan mengenai keadaan sebenar berkaitan isu tersebut bagi sesetengah pasukan berkenaan.

-- BERNAMA​​​​​​

 

Advertisement

Must Watch Video