Skip to main content

Bola Sepak

Hernandez mampu jaring "20 gol mudah" buat United

hernandez-cropped_kbzix3ferasx1go8k1uqdlmyy.jpg
Jose Mourinho mendakwa bekas penyerang Manchester United, Javier Hernandez, mampu menjaringkan "20 gol mudah" jika masih berada di Old Trafford, musim ini.

United adalah antara pasukan yang rendah menjaringkan gol di dalam tujuh pasukan teratas Liga Perdana Inggeris selepas 29 perlawanan dengan menjaringkan 43 gol -- kekurangan 10 daripada Everton.

Zlatan Ibrahimovic tiba di England dengan mencetak 27 gol dalam semua pertandingan, 16 daripadanya hadir dalam aksi EPL, namun segala tekanan terletak di bahunya  kerana dilihat sebagai satu-satunya pemain United yang efektif di depan gol.

Marcus Rashford, Anthony Martial, Henrikh Mkhitaryan dan Paul Pogba telah menjaringkan tujuh gol manakala kapten pasukan, Wayne Rooney, menjaringkan lima gol.

Penghuni tangga keenam EPL itu bakal berkunjung ke Sunderland esok, dengan pengurus pasukan, Mourinho, berkata beliau memerlukan pemburu gol seperti pemain Bayer Leverkusen, Hernandez, yang meledak 59 gol dalam semua pertandingan ketika mengharungi enam musim di Theatre of Dreams.

"Jika anda melihat kepada Paul Pogba, bilangan percubaannya yang terkena tiang gol sudah mampu menghasilkan satu rekod di dalam buku Guinness," kata Mourinho.

"Dia hampir menjaringkan gol-gol yang berkualiti. Tuah tidak menyebelahinya.

"Kami memiliki pemain yang tidak menggemari jaringan gol. Mereka adalah pemain yang baik, berkuaiti, mampu mencipta peluang tetapi bukan seorang penjaring gol yang semulajadi.

"Saya memberikan satu contoh. Dengan cara kami bermain di Old Trafford, gaya kami mendominasi pasukan lawan, saya berpendapat 'Chicharito' mudah menjaringkan 20 gol walaupun hadir sebagai pemain gantian pada 10 atau 20 minit terakhir.

"Dia adalah pemain yang semula jadi di dalam kotak penalti.

"Hernandez mampu cipta gol dalam apa-apa situasi."

Advertisement

Must Watch Video