Skip to main content

Bola Sepak

Hazard sedia gempur PSG, kata Zidane

hazard_1.jpg
Eden Hazard sudah bersedia untuk memulakan perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok, dedah pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

Pemain antarabangsa Belgium itu, yang menyertai Madrid daripada Chelsea pada Jun lalu, kembali menjalani latihan berikutan kecederaan paha dengan membuat penampilan sulungnya sebagai pemain gantian dalam babak kedua dalam kemenangan LaLiga ke atas Levante , Sabtu lalu. 

Gergasi Sepanyol itu akan memulakan kempen mereka dalam pemburuan gelaran ke-14 dengan menentang PSG, sehubungan itu Zidane yakin Hazard boleh diturunkan sejak awal permainan. 

"Anda akan lihat bagaimana kami akan bermain esok tetapi Hazard sudah bersedia untuk diturunkan dalam barisan utama," katanya dalam sidang media. 

"Kami mempunyai beberapa sesi latihan yang baik baru-baru ini dan dia sudah bersedia."

Zidane pantas memuji penggempur Perancis, Karim Benzema, selepas pengurus PSG, Thomas Tuchel, menegaskan bahawa dia seorang pemain "yang hebat dan sukar dikawal".

"Bukan mudah baginya tetapi dia selalu menunjukkan kredibilitinya," katanya. "Dia penjaring gol tapi itu bukan perkara paling penting dalam bola sepak.

"Dia seorang pemain sepasukan dan itulah yang paling saya gemari. Saya fikir dia memang hebat seperti yang dikatakan oleh Tuchel. Saya sependapat dengannya."

James Rodriguez pula beraksi sepanjang 90 minit permainan dalam kemenangan ke atas Levante serta mencipta gol kedua Los Blancos untuk disudahkan Benzema.

Pengurus dari Perancis itu, bagaimanapun, enggan menawarkan maklumat sama ada pengatur serangan itu akan bermula ketika berdepan juara Ligue 1 berkenaan, namun memuji kelibat serba boleh pemain antarabangsa Colombia tersebut. 

"Kita akan lihat kelak kerana dia boleh bermain di mana-mana posisi. Tetapi benar ia lebih mudah baginya untuk bermain di bahagian depan," katanya. "Adalah penting untuk dia dalam keadaan yang baik dan kedudukannya di atas padang boleh berubah kerana dia seorang pemain yang berkualiti."

Madrid dan PSG merupakan pilihan utama untuk lolos daripada Kumpulan A yang turut mengandungi Club Brugge dan Galatasaray. 

Malah, Zidane mencadangkan juara Ligue 1 itu mempunyai kualiti yang cukup untuk mara jauh. 

"PSG juga merupakan pasukan pilihan dalam UCL memandangkan mereka adalah pasukan yang hebat," katanya. "Mereka sentiasa berbahaya walaupun kadang-kadang mereka tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan.

"Bagaimanapun, mereka adalah sebuah pasukan yang berbahaya. Mereka membuktikannya pada setiap hujung minggu. Dengan adanya (Edinson) Cavani, (Kylian) Mbappe dan Neymar, prestasi mereka pasti lebih baik, tetapi mereka adalah pasukan yang berkualiti tinggi walaupun tanpa mereka bertiga."
 

Advertisement

Must Watch Video