Skip to main content

Bola Sepak

Harimau Selatan rampas takhta Liga Super

12417jdt_kelantan.jpg
KELANTAN 2 JDT 3

Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas kedudukan teratas Liga Super selepas menewaskan Kelantan dalam perlawanan tunggal Liga Super malam ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.


Kelantan turun dengan misi mengalahkan JDT bagi mengembalikan semula aura ‘This is Kota Bharu’ manakala Harimau Selatan ingin mengekalkan momentum kejayaan selepas membelasah Melaka United 7-0 bagi merampas takhta liga daripada Pahang. 

Bagaimanapun, harapan peminat The Red Warriors (TRW) untuk menyaksikan gandingan Mohammed Ghaddar dan Alessandro Celin tidak menjadi sebaliknya jurulatih, Zahasmi Ismail, mempertaruhkan penyerang muda, Muhd Danial Ashraf Abdullah.

Kelantan memulakan sepak mula dan hampir berada di depan seawal minit kedua namun sepakan penyerang import Kelantan, Ghaddar, ditangkap kemas penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.

Ghaddar menebus kekecewaan apabila menjaringkan gol pendahuluan dengan merembat kencang sepakan lintang Mohd Farisham Ismail untuk menewaskan Farizal pada minit kelima. Ia adalah gol ke-11 Ghaddar musim ini dalam Liga Super.

Pada minit ke-16, Ghaddar terus mengganas dengan gol kedua melalui gerakan solo yang menewaskan benteng JDT hasil hantaran menarik, Mohd Danial Ashraff.

Empat minit kemudian, JDT mendapat gol semangat melalui sepakan percuma menarik bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim, yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. 

Pengadil perlawanan, Mohd Nazmi Nasaruddin, menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT apabila Gabriel Migual Guerra dijatuhkan pertahanan import, Mamadou Danso.  Guerra tenang menolak masuk untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-29.

Selang seminit, JDT mendahului 3-2 apabila penyerang, Gonzalo Gabriel Cabrera, menyudahkan hantaran cantik Guerra menewaskan Khairul Fahmi buat kali ketiga.

Selepas rehat, JDT membuat pertukaran pertama dengan membawa masuk Muhd Fazly Mazlan dan mengeluarkan S. Kunanlan bagi menguatkan barisan tengah.

Penyerang muda, Danial Asyraf, melakukan rembatan kencang tetapi mudah ditangkap Farizal pada minit ke-50 untuk kedudukan kekal JDT mendahului 3-2.

Kelantan mendapat sepakan percuma apabila Ghaddar dijatuhkan malangnya sepakan Kapten Pasukan, Mohd Badri Radzi, gagal menemui sasaran pada minit ke-54.

Danial Asyraf hampir menyamakan kedudukan tetapi sepakan leret dalam kawasan penalti ditangkap kemas Farizal.

Pada minit ke-58, Kelantan membuat pertukaran pertama untuk mengukuhkan barisan tengah apabila memasukkan Hattaphon Bun An dan mengeluarkan Mohd Khairul Izuan.

Pertahanan import, Danso, hampir memberikan gol penyamaan kepada TRW malangnya tandukan kencangnya diselamatkan Farizal pada minit ke-70.

Pada minit ke-75, pertahanan kental Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, dilayangkan kad merah oleh pengadil apabila menarik baju Guerra di luar kawasan penalti. Safiq Rahim mengambil sepakan percuma tetapi tersasar.

Selepas itu, pemain berpengalaman, Indera Putra Mahyuddin, dilayangkan kad kuning pada minit ke-82 akibat mengasari Cabrera. Zahasmi pantas mengeluarkan Kapten, Mohd Badri, dan memasukkan penyerang, Fakhrul Zaman untuk mengasak kubu JDT.

Lima minit terakhir, Zahasmi mengarahkan Denso berada di dalam kawasan penalti JDT dan pemain import itu hampir menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan hasil umpanan Danial Asyraf tetapi diselamatkan Farizal.

Menuju minit akhir permainan, Kelantan menggandakan asakan malangnya benteng pertahanan JDT yang diketuai kapten, Marcos Antonio, kekal bertahan untuk membolehkan Harimau Selatan memungut mata penuh dengan kemenangan 3-2 dan lebih penting, merampas takhta Liga Super daripada Pahang.

JDT berkelebihan satu mata di depan Pahang dan Kedah yang masing-masing mengumpul 19 mata manakala Kelantan kini di kedudukan keenam, tiga mata di belakang Perak dan Selangor.

Gambar: Laman Facebook JOHOR Southern Tigers
 


 

Advertisement

Must Watch Video