Skip to main content

Bola Sepak

Harimau Malaya raih sentuhan Liridon, De Paula selepas Mac 2020

liridon-de-paula.jpg
Peluang untuk melihat dua calon pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula, menyarung jersi skuad kebangsaan bagi membantu Harimau Malaya dalam lapan perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Asia, tidak akan berlaku.

Dua pemain itu hanya akan menepati tempoh lima tahun bermastautin di Malaysia pada Mac tahun depan.

Sehingga tempoh itu, kedua-duanya tidak layak untuk didaftarkan sebagai pemain pilihan yang berada dalam senarai skuad Malaysia bagi tempoh kelayakan pusingan kedua.

Tarikh 5 Ogos 2019 adalah hari terakhir untuk pendaftaran pemain bagi aksi pusingan kedua, di mana tempoh itu sah sehingga 9 jun 2020 yang merupakan tarikh aksi akhir pusingan kedua melibatkan pertemuan dengan Thailand.

"Dia main untuk saingan kelayakan pusingan ketiga. Mengikut format ini, 12 pasukan akan ke kelayakan Piala Dunia, kemudian akan dibentuk kelayakan ketiga buat Piala Asia.

"Jadi, pemain naturalisasi boleh beraksi di peringkat itu. Ada dua jendela perpindahan, iaitu pada 5 Ogos 2019 dan 9 Jun 2020," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Situasi itu menyaksikan kedua-dua pemain itu terlepas peluang untuk beraksi sebagai pemain Malaysia dalam saingan kelayakan pusingan kedua tatkala peluang untuk mereka hanya akan hadir dalam saingan pusingan ketiga menerusi pendaftaran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang baru.

"Kami sudah tahu tentang perkara ini dan FAM tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan beraksi dalam pusingan kelayakan tahun ini.

"Mungkin ia hanya spekulasi tetapi memandangkan jika dokumen pemain ini sudah lengkap, peraturan lima tahun yang ditetapkan FIFA belum tercapai, Mac tahun depan baru boleh beraksi."
 

Advertisement

Must Watch Video