Skip to main content

Bola Sepak

Harimau baham Garuda di sarang mereka

sumareh.jpg
INDONESIA 2 MALAYSIA 3

“Kita kepit sayap Garuda,” tempik pengulas, Zainal Abidin Rawop, sambil Harimau Malaya melakukan apa yang dikhuatiri tidak berkemungkinan dengan menundukkan Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi.


Dua gol sumbangan Mohamadou Sumareh – penyerang gantian yang hanya disahkan cergas pada saat-saat akhir – melenyapkan sorakan di gelanggang keramat skuad Garuda itu untuk Harimau Malaya membuka kempen kelayakan Kumpulan G, Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ini dengan nota menggembirakan.

Dua kali Malaysia bangkit daripada ketinggalan tapi sesudah kedudukan disamakan, Indonesia tidak mempunyai jawapan mahupun saki-baki tenaga untuk bangun memenuhi jangkaan penyokong mereka.

Tiga gol dalam babak pertama – dua di pihak tuan rumah -- sekadar menghidupkan suasana persis final ini. Seadilnya itulah yang sepatutnya kerana didorong oleh penyokong fanatik mereka, skuad Garuda itu ternyata lebih mendominasi permainan.

Malaysia, di sebalik melakukan sepak mula, tampil lebih ‘jinak’. Kecelaruan di pertahanan di samping longgarnya cengkaman di tengah pada awalnya menafikan barisan depan daripada perkhidmatan yang diharapkan mereka.

Dengan Andik Vermansyah begitu lincah di sayap kiri, jaringan awal tuan rumah tidak pun mengejutkan. Menyusuli hantaran lintang Stefano Lilipaly dan lambungan Andik yang kedua-duanya diselamatkan sepanjang lima minit awal, Gelora Bung Karno gegak-gempita dengan gol pendahuluan.

Pada minit ke-11 itu, umpanan Evan Dimas membelah pertahanan negara untuk penyerang berusia 38 tahun, Beto Goncalves, mudah meloloskan bola di celah kaki penjaga gol, Farizal Marlias, yang meluru ke arahnya.

Gol itu anehnya mengendurkan sedikit asakan Indonesia sambil barisan depan Malaysia terus dikecewakan hantaran yang tidak sampai. Sepakan percuma Safawi Rasid yang sedikit melepasi palang pada minit ke-30, tercatat sebagai percubaan terbaik barisan negara.

Tempoh tiga minit yang ‘gila’ menyaksikan dua lagi gol terhasil.  Sumareh, hanya seminit selepas masuk menggantikan Hadin Azman, menghidupkan cabaran Malaysia dengan gol penyamaan hasil jolokan Nor Azam Azih pada minit ke-36.

Namun, berlawanan dengan arus permainan, Goncalves yang diumpan Andik, melencongkan bola menewaskan Farizal sekali lagi dua minit kemudian untuk tuan rumah ke bilik persalinan dengan pendahuluan semula.

Sejurus Lilipaly mensia-siakan peluang satu lawan satu dengan Farizal selepas rehat untuk pintu gol Malaysia terselamat, skuad negara beransur-ansur kembali dalam saingan hasil inspirasi Nor Azam, hanya untuk menyaksikan Safawi dan Syafiq Ahmad secara berturut-turut melakukan pembaziran.

Tapi, bukan kesempatan pada minit ke-66. Didahului bola yang terkena tangan Lilipaly di depan golnya daripada sepakan Corbin yang tidak diendahkan rayuan penalti, Malaysia menghidu kesempatan.

Melambungkan semula bola ke depan gol yang menyaksikan pergelutan, Syafiq menghulurkan kepala untuk membiaskannya melepasi penjaga gol, Andritany Ardhiyasa, untuk kedudukan terikat 2-2.

Kekacauan penonton selepas itu – sewaktu Harimau Malaya memuncakkan tekanannya – memaksa pengadil, Ko Hyungjin dari Korea Selatan, memberhentikan permainan kira-kira 10 minit untuk meredakan keadaan.

Turut sama diredakan ialah kegarangan skuad Garuda yang seakan-akan tidak berminat memburu jaringan selepas itu, sebaliknya lebih gemar menyimpan bola untuk pasrah dengan keputusan seri.

Di sebalik berpeluang, kedua-dua Corbin Ong dan pemain gantian, Syamer Kutty Abba, masing-masing terlepas untuk menyudahkannya pada minit ke-92 dan 96 sehinggalah Sumareh menunjukkan jalan dengan menyudahkan hantaran rendah Matthew Davies seminit sebelum tamat.

Advertisement

Must Watch Video