LIGA SUPER MSIA
Hannah Yeoh gesa pengurusan kelab Liga-M perkemas perkara asas
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengangkat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai penanda aras oleh kelab Liga Malaysia (Liga-M) terutama dalam Liga Super dan dominasi Harimau Selatan tidak seharusnya menyebabkan liga hilang unsur kompetitif.
Kejayaan JDT di peringkat domestik tidak seharusnya melemahkan semangat pencabar-pencabar lain, sebaliknya senario ini seharusnya meningkatkan iltizam untuk lebih berdaya saing.
Iklan
"Saya rasa tidak patut dipersalahkan kerana mereka bagus. Sebaliknya, usaha perlu dilakukan untuk mencapai tahap mereka, bukan bertindak memboikot dan enggan beraksi semata-mata kerana mereka terlalu bagus.
"Bagi saya tindakan itu tidak wajar dan tidak rasional.
"Bagi saya, JDT sedang meningkatkan mutu bola sepak tempatan sebagai sebuah kelab dan ia sesuatu yang patut dipuji.
"Sepatutnya pasukan lain menjadikan usaha untuk bersaing secara sihat dengan JDT sebagai sasaran utama, bukan mengambil sikap kalau tak mampu tandingi JDT, lebih baik tak main. Itu bukan semangat kesukanan,” katanya dalam Majlis Resepsi Meraikan Skuad Olahraga Jerman oleh Kedutaan Jerman.
Hannah turut menyarankan kelab Liga-M supaya memperkukuhkan perkara asas dalam pengurusan yang membabitkan gaji dan kebajikan pemain demi menarik minat penaja dan pembangunan sukan itu di negara ini.
"Jadi kalau bola sepak rasa susah untuk mendapatkan penaja, bayangkan sukan lain.
"Bola sepak mempunyai penonton yang ramai, oleh sebab itu, saya rasa untuk meyakinkan penaja, mereka hanya nak lihat cara pentadbiran kelab, bagaimana membayar gaji ataupun menjaga kebajikan pemain.
"Saya minta kalau yang tak mampu jangan sentuh, biar orang lain ambil. Kadang-kadang ada yang tak mampu tetapi nak simpan kuasa itu, jadi orang lain tak boleh sentuh,” katanya.
Must-Watch Video