Skip to main content

Bola Sepak

Guendouzi dipanggil sertai skuad Perancis

matteoguendouzi.jpg
Pemain Arsenal, Matteo Guendouzi, telah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Perancis buat kali pertama selepas Paul Pogba menarik diri daripada skuad yang bakal berdepan Albania dan Andorra ekoran kecederaan buku lali.

Pogba menyempurnakan 90 minit dalam setiap perlawanan bersama Manchester United musim ini, termasuk ketika terikat seri 1-1 dengan Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Guendouzi merupakan antara pilihan utama pengendali pasukan Gunners, Unai Emery, dan menyerlah ketika aksi 'derby' London Utara -- melakukan hantaran kemas kepada Pierre-Emerick Aubameyang untuk memastikan keputusan seri 2-2.

Secara keseluruhan, selepas empat perlawanan Guendouzi dilihat pemain yang cemerlang bertindak selaku jentera tengah Arsenal.

Bekas pemain Lorient itu memintas bola sebanyak sembilan kali, memenangi terjahan lima kali dan berlari sejauh 43 kilometer, menurut data yang diambil oleh Opta.

Pemain berusia 20 tahun itu telah tampil beraksi tiga kali dalam skuad B-21 tahun dalam Kejohanan Eropah di Itali.

Ketua jurulatih Les Bleus, Didier Deschamps, amat memerlukan pemain untuk memperkuat jentera tengah selepas bintang Lyon, Houssem Aouar, turut menarik diri ekoran kecederaan.

Advertisement

Must Watch Video