Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola tempelak ulasan perpindahan besar Klopp

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

guardiola-klopp.jpg
Pep Guardiola membidas balik kenyataan Jurgen Klopp yang menyatakan Liverpool tidak dapat menyaingi perbelanjaan Manchester City dalam soal perpindahan sambil menyangkal pandangan pengurus berbangsa Jerman itu. 

City akan menghadapi Liverpool dalam pertembungan Perisai Komuniti di Wembley, malam esok, untuk meneruskan perseteruan sengit mereka dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Bulan lalu, Klopp menamakan City -- di samping Paris Saint-Germain (PSG) dan gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid -- sebagai kelab yang sentiasa boleh berbelanja besar dalam pasaran perpindahan.

Begitupun, Guardiola menafikan komen Klopp itu dengan mendakwa City hanya berbelanja mengikut keperluan sambil merujuk kepada perbelanjaan Liverpool ke atas Alisson Becker, Naby Keita serta Fabinho musim lalu dan ia membuktikan bahawa The Reds juga boleh membuat perpindahan besar.

"Ia mengganggu saya memandangkan ia sesuatu yang tidak benar bahawa kami membelanjakan £200 juta (RM1 bilion) dalam setiap jendela perpindahan," kata Guardiola dalam sidang akhbar.

"Liverpool bukan sebuah pasukan kerdil, jadi saya tidak menggemarinya kerana ia tidak benar. Musim lepas, kami hanya berbelanja ke atas seorang pemain (Riyad Mahrez).

"Kami tidak boleh menghabiskan RM1b dalam setiap musim -- Liverpool misalnya telah menghabiskan RM1b musim lalu maka mereka tidak boleh membelanjakan RM1b lagi musim ini.

"Kami hanya menandatangani seorang pemain, iaitu Angelino, dengan klausa pembelian semula dan itulah alasannya. Jadi, kelab ini tidak boleh berbelanja besar lagi. 

"Apa yang berlaku di kelab-kelab lain seperti Barcelona, ​​saya tidak tahu kerana saya tidak berada di sana. Jika mereka fikir mereka boleh melakukannya maka mereka akan melakukannya. Jika kelab gagal mematuhi peraturan kewangan, mereka akan dihukum.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai kelab-kelab lain, saya boleh katakan tuduhan itu adalah tidak benar."

Bagaimanapun, Guardiola memuji Klopp atas kerja kerasnya dalam menjadikan Liverpool sebagai pencabar gelaran.

"Beliau merupakan pengurus yang berkelas atasan," kata Guardiola. "Ia satu cabaran yang luar biasa buat saya apabila setiap kali kami menghadapi pasukannya, mesejnya sentiasa positif mengenai corak permainan pasukannya.

"Saya fikir ia sangat baik untuk bola sepak bahawa mesej itu selalu hadir dengan cara yang positif. Kadang-kadang ada pengecualian tetapi selalunya dia sentiasa memberikan pandangan yang baik."

City mengecewakan Liverpool untuk merangkul gelaran liga musim lalu dengan kelebihan hanya satu mata. Kemenangan Piala FA ke atas Watford melengkapkan musim yang luar biasa buat skuad kendalian Guardiola itu memenangi kejuaraan 'treble' domestik yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Kejayaan itu, bagaimanapun, belum cukup buat mana-mana pemain City untuk dicalonkan dalam anugerah Pemain Terbaik FIFA, namun juara Liga Juara-Juara (UCL) itu mempunyai tiga bintang mereka yang disenarai pendek.

Apabila ditanya sama ada City boleh memperbaiki pencapaian musim lalu, Guardiola -- yang turut menerima pencalonan Jurulatih Terbaik di samping Klopp -- melontarkan pandangannya. 

"Kami memenangi hampir setiap trofi tetapi bukanlah semuanya, ia agak luar biasa," kata Guardiola. "Ia belum cukup untuk pemain saya ditempatkan dalam kalangan terbaik di Eropah tetapi ia lebih baik daripada musim pertama.

"Kini kami sudah memulakan pramusim dan bercakap tentang apa yang perlu dilakukan, pemain tahu ia akan menjadi lebih sengit.

"Kami sudah bersedia untuk menerima cabaran sehingga penghujung musim ini."

Advertisement

Must Watch Video