LIGA INGGERIS
Guardiola harap Kompany kekal cergas
SOUTHAMPTON 0 MANCHESTER CITY 3
Pep Guardiola berharap Vincent Kompany dapat mengelak sebarang kecederaan selepas pemain pertahanan Manchester City itu menamatkan kemarau 20 bulan gol liga dalam kemenangan 3-0 di Southampton, awal pagi tadi.
Kompany melakukan tandukan pada minit ke-55 untuk gol liga pertamanya sejak Ogos 2015 walaupun pelbagai kecederaan mengehadkannya kepada 17 penampilan liga pada masa itu.
Iklan
Leroy Sane dan Sergio Aguero kemudian memastikan tiga mata untuk City naik ke tangga ketiga liga, membuatkan Guardiola memuji kaptennya itu.
"Vincent (Kompany) adalah pemain pertahanan tengah yang tidak hanya memenangi semua pertarungan tetapi membaca permainan dan melakukan hantaran dengan baik," kata Guardiola kepada BT Sport.
"Musim lalu, Manuel (Pellegrini) begitu kecewa dia tidak dapat menggunakan pemain itu dan musim ini adalah sama.
"Mudah-mudahan dia boleh kekal cergas. Saya tahu betapa pentingnya dia kepada peminat, apa yang telah dilakukannya di sini dan dia mempunyai kualiti yang besar.
"Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama tetapi ia tidak dapat disudahkan.
"Kami menjaringkan gol daripada sepakan percuma. Selepas itu ia tidak mudah, tetapi kami dapat menggunakan serangan balas dan mempunyai ruang di antara garisan.
"Prestasi yang begitu baik dengan mengambil kira di mana kami bermain dan itulah sebabnya kami sangat, sangat gembira."
City kini tujuh mata di atas Everton yang berada di tempat kelima dan skuad di tempat keenam, Manchester United, yang akan menentang Chelsea pada malam ini sebagai salah satu daripada dua perlawanan dalam tangan berbanding jiran mereka.
Skuad Guardiola akan menghadapi Arsenal dalam separuh akhir Piala FA pada Ahad depan, seminggu sebelum menjadi tuan rumah aksi 'derby' Manchester.
"Manchester United mempunyai perlawanan (malam ini) dan satu lagi perlawanan dalam tangan dan masih perlu datang ke Etihad," kata Guardiola.
"Ia adalah satu perlumbaan yang besar (Liga Juara-Juara) dengan banyak perkara terlibat. Liverpool mempunyai perlawanan dan jika mereka menang, mereka akan ke tempat ketiga.
"Kelayakan untuk Liga Juara-Juara begitu penting untuk kelab dan pemain tahu perkara itu."
Sementara itu, bos Southampton, Claude Puel, mengakui pasukannya tidak cukup baik untuk mengutip mata.
"Pada separuh masa kedua, mereka menjaringkan dua gol ketika melakukan serangan balas tetapi saya fikir kami boleh lakukan dengan lebih baik. Kami tidak bermain cukup baik menentang pasukan ini, kami gementar dengan bola," kata jurulatih berbangsa Perancis itu kepada BBC.
"Ia satu kekecewaan kerana kami boleh melakukannya dengan lebih bagus, kami boleh mencipta peluang lebih baik. Ia bukan hari yang baik untuk kami, tetapi tahniah kepada Manchester City."
Must-Watch Video