Skip to main content

Bola Sepak

Giampaolo janji teruskan perjuangan dengan Milan

giampaolo.jpg
AC MILAN 1 FIORENTINA 3

Marco Giampaolo mengambil sepenuhnya tanggungjawab selepas AC Milan tewas 1-3 kepada Fiorentina dalam Serie A awal pagi tadi, namun berjanji akan kekal di San Siro.


Pada lewat kariernya, Franck Ribery memaparkan aksi luar biasa untuk menjaringkon gol terakhir Fiorentina ke atas Milan dalam perlawanan itu.

Erick Pulgar dan Gaetano Castrovilli turut menemui sasaran manakala layangan kad merah buat Mateo Musacchio menambahkan kesulitan Milan, yang hanya memperoleh jaringan sagu hati menerusi Rafael Leao pada 10 minit terakhir.

Sebelum sepak mula lagi, kedudukan Giampaolo dilaporkan kian terancam walaupun baru mengemudi pasukan itu dalam enam perlawanan Serie A setakat ini.

Namun, pengendali itu menegaskan dia tidak akan mudah mengaku kalah.

"Saya mengambil tanggungjawab itu, sudah pasti, namun saya tetap akan meneruskannya kerana saya percayakan idea saya, " katanya kepada Sky Sport Italia.

"Apa yang menyakitkan hati saya ialah apabila pasukan ini turun ke San Siro seperti tidak pernah berlatih bersama. Anda boleh tewas tetapi bukan seperti itu.

"Tiga hari lalu, saya menggemari pretasi pasukan ini dan respons mereka ketika menentang Torino (tewas 1-2).

"Malam ini, mereka terlalu tertekan, mereka berasa terlalu perlu untuk menang dan saya katakan kepada mereka untuk bermain dengan ramuan yang tepat untuk menang, bukannya menunggu waktu tertentu untuk ia terjadi.

"Kami perlu mencpita waktu itu sendiri.

"Sebaliknya, tekanan itu menyukarkan kami, kami terlalu tegang, tidak memberikan reaksi secepat mungkin dan semakin tertekan," katanya.

Giampaolo turut mengakui keperluan untuk melakukan sesuatu yang lebih besar bagi membantu Milan, yang tewas empat daripada enam perlawanan pertama Serie A musim ini.

"Saya perlu mengeluarkan prestasi terbaik daripada setiap pemain dan memastikan mereka dapat bermain secara satu unit.

"Jika anda tidak dapat bermain dengan cara dan kualiti Milan, saya perlu mencuba untuk menjadikan mereka sebagai satu pasukan yang kukuh dan memulakannya daripada itu.

"Melakukan tugas bersama-sama akan membantu anda mengatasi kesukaran.

"Anda akan berkongsi bebanan itu, bekerjasama dan tidak lemas seorang diri.

"Itulah yang saya katakan kepada pasukan ini pada waktu rehat," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video