Skip to main content

Bola Sepak

Felda United bukti mampu cipta kejutan

nidzam-jamil.jpg
Felda United membuktikan perebutan tiket ke peringkat kalah mati daripada Kumpulan D, Piala Malaysia bukan hanya milik pasukan pilihan apabila bangkit mengikat Selangor 2-2 di Stadium Shah Alam, semalam.

Kedudukan 2-0 pada minit ke-40 menyaksikan Selangor sepatutnya selesa mendahului hingga ke bilik persalinan.

Namun, dengan keenganan mengibarkan bendera putih dan berbekalkan aksi agresif, Felda United merapatkan jurang dua minit kemudian menerusi jaringan Christie Jayaseelan.

Dalam babak berikutnya, Selangor seakan-akan tidak berupaya mempamerkan aksi sebenar gara-gara perubahan taktikal yang dilakukan Felda United.

Tekanan yang diberikan akhirnya memaksa Selangor melakukan kesilapan dengan memberikan sepakan penalti pada minit ke-82, yang disempurnakan Khairul Amri Mohamad Kamal.

"Kalau dengan prestasi seperti ini, saya ada juga menyimpan cita-cita untuk ke suku akhir.

"Tapi kami kena kerja keras sebab PDRM, Melaka dan Selangor merupakan pencabar utama, terutama Melaka dan Selangor.

"Bukan senang untuk bermain dengan mereka.

"Jika kami boleh mendapatkan satu mata di gelanggang lawan dan tiga mata di gelanggang sendiri, kami mungkin boleh melakukan kejutan seperti dalam Piala FA," kata ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil.

Nidzam, bagaimanapun, menegaskan Felda United perlu memainkan watak berbeza berbanding pasukan yang hanya mencipta kebangkitan, andai mahu mencabar Melaka dan PDRM dalam perebutan trofi berkenaan.

"Mana-mana pasukan dan jurulatih mahu memulakan saingan dengan kukuh.

"Mahu mendahului 1-0, 2-0 dan menamatkannya dengan kemenangan 3-0.

"Kami mungkin kehilangan tumpuan dalam separuh masa pertama dengan dua gol yang boleh dielakkan.

"Tetapi itu masalah yang saya perlu selesaikannya dengan pemain.

"Kami perlu menyelesaikannya," tambahnya.

Sementara itu, pengendali Selangor, B. Sathianathan, enggan melatah dengan keputusan seri yang diraih pasukannya.

Sebaliknya, dia akur keputusan itu berpunca daripada kepincangan taktikal dan kegagalan pemainnya mengekalkan fokus.

Ketua jurulatih itu menjadikan prestasi dalam Liga Super -- bermula perlahan sebelum menamatkan kempen di tempat ketiga -- sebagai contoh terbaik.

Tambahnya, segala kelemahan yang dikenal pasti akan diperbaiki dalam baki lima perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami ada banyak peluang yang tidak diambil.

"Mungkin itu adalah kesilapan saya dan saya akan betulkan kesilapan itu sebelum bertemu Melaka (Khamis ini).

"Kami tidak ambil peluang-peluang yang ada, terutama dalam 30 minit pertama babak kedua.

"Kami mengawal permainan sebelum mereka memperoleh sepakan penalti.

"Kami pernah menduduki tangga ke-10 (dalam liga) sebelum mendapat tempat ketiga.

"Tiada masalah, kami perlu bangkit balik kerana kami adalah Selangor.

"Ia tugas saya dan pemain dan kami perlu membayar budi pihak pengurusan dengan tidak mengulangi apa yang telah kami lakukan hari ini.

"Kami akan melaluinya satu persatu dan itulah yang akan kami lakukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video