Skip to main content

Bola Sepak

FAM saran soal teknikal DNA dibincang secara dalaman

peter-de-roo-stuart-ramalingam.jpg
Tindakan melangkaui kepentingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi amaran kepada Pengarah Teknikalnya, Peter De Roo -- selain isu itu turut menimbulkan spekulasi baru yang berkaitan kontrak bekas pemain Belanda berkenaan. 

Persoalan mulai timbul sebaik tamat kempen Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, bulan lalu, apabila pendapat De Roo umpama tiada persefahaman dengan barisan kejurulatihan skuad B-18, iaitu Brad Maloney, termasuk jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee.

Hamidin menegur bekas perancang tengah skuad Oranje itu agar isu berkenaan lebih elok sekadar menjadi perbincangan dalaman.

"Saya sudah beri amaran kepada De Roo agar memberikan pendapatnya secara perbincangan dalaman.

"Ini seperti satu bentuk (pendekatan) teknikal dan kami akan perbaiki lagi (aspek ini).

"Kami baru sahaja memperkenalkan (DNA Bola Sepak Malaysia) ini dua bulan lalu. Mungkin ada sesetengah jurulatih belum lagi muktamad (dalam soal pendekatan ini)," kata Hamidin di kediamannya dalam majlis doa selamat, hari ini, sempena kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Jakarta, Khamis ini.

Ia turut mengaitkan kedudukan De Roo berikutan kontraknya akan berakhir hujung bulan ini dengan FAM masih belum lagi ada perbincangan terperinci untuk memperbaharui kontraknya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pula berpandangan: "Kalau kami mencapai kata sepakat dalam masa terdekat, kami akan umumkannya. Saya tidak fikir kami perlu bercakap tentang hal ini tatkala perbincangannya masih berlangsung."

Dalam masa sama, pengarah teknikal berusia 49 tahun itu, yang dilantik dua tahun lalu, kekal dengan hasrat untuk melihat perubahan corak permainan skuad bimbingan Maloney itu.

Ternyata corak yang diketengahkan Maloney gagal menyamai formasi hampir 4-4-3 walaupun pelancaran identiti baru bola sepak Malaysia telah disempurnakan sebulan sebelum itu.

De Roo akur dengan alasan tempoh dan masa yang terlalu singkat menafikan pendekatan formasi 4-4-3 dalam Kejohanan AFF tetapi menuntut perubahan dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-19, November depan. 

"Saya tidak mahu bercakap soal harapan kerana ia hampir kedengaran seperti kami tidak tahu apa yang mahu dilakukan. 

"Saya percaya pasukan ini akan bertambah baik pada masa akan datang kerana terdapat banyak kualiti," kata De Roo. 

Bagaimanapun, Kim Swee bertegas formasi bukan perkara utama asalkan DNA yang cuba diketengahkan masih tidak berubah.

"Setiap jurulatih mempunyai tanggungjawab. 

"Walaupun kami harus mengikuti DNA, tetapi pada akhirnya jurulatih bertanggungjawab atas kemenangan dan kekalahan pasukan. 

"Lebih baik Maloney (sendiri) menentukan hala tuju pasukan daripada kami (pihak FAM). Tetapi seperti yang saya katakan, DNA atau falsafah kita tidak harus berubah," kata Kim Swee lagi.

Advertisement

Must Watch Video