Skip to main content

Bola Sepak

FAM hantar enam pemain berguru di Jepun

luqman.jpg
Enam pemain bola sepak muda negara, termasuk bintang skuad B-18 kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin, mendapat peluang keemasan untuk berguru di Jepun secara berperingkat bermula Selasa ini. 

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata ia adalah hasil kerjasama yang dimeterai ketika delegasi FAM yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengadakan perbincangan dua hala dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) selama lima hari di Tokyo bermula 26 Ogos lalu.

Kunjungan itu adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 5 April lalu.

"Nama-nama ini dipilih selepas saringan berdasarkan prestasi pemain yang dipantau FAM, Akademi Mokhtar Dahari dan Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)," katanya.

"Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi  pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi dalam Liga Jepun pada masa akan datang," tambahnya. 

Luqman Hakim, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari akan menimba ilmu dengan Cerezo Osaka dari 3-13 September ini.

Peringkat kedua pula bakal menyaksikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili bersama Luqman sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo bulan depan.

"Kalau saya dapat tempat di Jepun, saya berazam untuk kekal dan beraksi di luar negara tetapi cita-cita saya memang mahu mewakili skuad kebangsaan," kata Luqman Hakim.

"Sebelum ke Jepun, ada sesi latihan istimewa yang kami lalui dan diharapkan ia dapat membantu kami. Ia melibatkan kelajuan dan kecergasan," tambah Harith Haiqal.

-- BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video