BOLA SEPAK MSIA
FAM bayar hutang minggu depan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menjelaskan hutang berjumlah RM9 juta secara keseluruhan kepada kesemua 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).
Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata pembayaran itu akan dibuat minggu depan dan beliau berharap setiap pasukan yang menerima bayaran itu akan mampu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi mereka.
"Walaupun kedudukan kewangan persatuan kini pada tahap yang kurang memuaskan, namun perkara terbabit perlu dilaksanakan dengan pembayaran dijangka akan dibuat minggu hadapan.
Iklan
"Kami sudah tiada pilihan dan terpaksa menggunakan simpanan tetap persatuan untuk menjelaskan hutang ini kepada semua pasukan yang bertanding dalam Liga M kerana ia adalah keutamaan kepada FAM buat masa ini.
"Bagaimanapun, saya yakin kedudukan kewangan kami boleh diperbaiki kerana kami sudah ada beberapa syarikat yang akan memberikan dana, cuma ia masih belum lagi diputuskan lagi buat masa ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat EXCO FAM kali pertama bagi penggal 2017-2021 di Kota Kinabalu, hari ini.
Sehubungan itu, Tunku Ismail menuntut lima pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji sebelum ini agar dapat menyelesaikan masalah terbabit dalam tempoh dua minggu selepas pembayaran imbuhan yang akan dibuat bermula minggu hadapan.
“Kami tidak mahu lagi mendengar alasan tidak ada duit. Jadi, atas dasar inilah kami jelaskan hutang supaya mereka boleh menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang dihadapi.
"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pasukan yang gagal menyelesaikan hutang mereka, khususnya gaji pemain yang tertunggak," katanya.
Tambah beliau, FAM tidak menolak untuk menyingkirkan pasukan yang gagal menyelesaikan masalah itu daripada saingan liga selain hukuman pemotongan mata dan juga mengenakan denda.
Must-Watch Video