Manchester City sedar mereka tidak boleh leka dalam usaha mencipta sejarah baru Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pemain tengah pasukan itu, Rodri.

City, yang menewaskan Tottenham 2-0 pada awal pagi tadi, mengambil langkah besar ke arah memenangi gelaran EPL keempat berturut-turut yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Erling Haaland menjaringkan dua gol, di mana gol keduanya terhasil menerusi sepakan penalti yang tenang diambil pada masa tambahan -- selepas beberapa aksi cemerlang daripada penjaga gol, Stefan Ortega.

Penjaga gol gantian City itu menggantikan Ederson yang cedera selepas sejam perlawanan dan dua kali menafikan percubaan Dejan Kulusevski sebelum melakukan aksi menyelamat luar biasa menghalang Son Heung-min menjaringkan gol penyamaan dalam situasi satu lawan satu.

Dengan berbaki satu lagi perlawanan, City berada dua mata di atas Arsenal dan Rodri sedar tugas harus diselesaikan dalam aksi menentang West Ham hujung minggu ini.

"Ia sungguh luar biasa. Bagi kami, ia memberi peluang untuk terus berjuang dalam perlawanan terakhir," katanya kepada Sky Sports.

"Kami tahu ada satu lagi perlawanan tetapi jika anda melihat karakter pasukan, memang bukan persembahan terbaik kami tetapi kami datang ke sini untuk menang dan itulah yang kami lakukan.

"Ini adalah mentaliti pemain ini, pertukaran pemain, Stefan menyelamatkan kami, Jeremy(Doku) luar biasa, setiap pemain yang masuk bermain dengan cemerlang.

"Ini adalah bola sepak. Kami mempunyai penyerang terbaik di dunia dan hari ini, dia membuat perbezaan tetapi hari ini juga, Stefan benar-benar luar biasa.

"Kami mendahului 1-0 dan dia membuat tiga penyelamatan hebat. Saya tiada kata-kata. Kami mahu mencipta sejarah lagi tetapi kami ada satu lagi perlawanan.

"Kami mempunyai pengalaman daripada perlawanan menentang Aston Villa (pada 2022). Kami tahu ia belum selesai. Kami tahu ia akan menjadi sukar tetapi jika kami berjaya, kami boleh mengubah sejarah."