Skip to main content

Bola Sepak

Elak lepas peluang terhidang -- Pugliese

santos24218.jpg
Jurulatih Felcra FC, Tarcisio Pugliese, perlu memikirkan kaedah terbaik selepas pasukannya mensia-siakan sepakan penalti dalam dua perlawanan Liga Perdana sementara jentera serangan MISC-MIFA masih belum mencapai tahap yang dikehendaki pihak pengurusannya.

Kebimbangan Pugliese itu berasas apabila barisan pemain yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti gagal untuk memanfaatkannya.

Antara yang telah ditugaskan adalah Leonardo Moreira ketika menentang Sabah dan yang terbaru, Endrick Santos ketika berdepan MISC-MIFA semalam yang menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Beliau berasakan jika pemainnya mampu menyudahkan peluang keemasan tersebut, ia bakal mengubah keputusan perlawanan secara keseluruhan.

"Tiga pemain sudah mencuba. Pasukan saya terlepas sepakan penalti. Saya fikir ia boleh berlaku, sudah tentu ia akan berlaku. Pemain terbesar dunia pun boleh melepaskan peluang itu. Kami melepaskan tiga peluang penalti dalam empat perlawanan. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya," kata Pugliese.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam semalam, MISC-MIFA mencipta tujuh percubaan berbahaya sepanjang 90 minit perlawanan, namun hanya berjaya menjaringkan satu gol.

Selepas mengharungi empat perlawanan, purata jaringan pasukan MISC-MIFA adalah satu gol bagi setiap perlawanan dan pihak pengurusan mengharapkan agar jentera serangan mampu segera mengatasi krisis ini.

Ketika ini, jentera serangan MISC-MIFA diterajui tenaga import seperti Kpah Sean serta bekas penyerang Kelantan, L'Imam Seydi.

"Saya nampak kegagalan penyerang saya untuk menukar peluang kepada gol. Saya rasa lebih kurang tiga peluang jaringan gagal disudahkan," kata pengurus pasukan MISC-MIFA, K. Rajendran.

Advertisement

Must Watch Video