Skip to main content

Bola Sepak

Dybala dedah rahsia raikan gol dengan gaya topeng

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dybala-180417.jpg
Paulo Dybala berkata dia selesa di Juventus dan berasakan tidak mempunyai sebab untuk menyertai Barcelona, ​​Real Madrid atau Bayern Munich selepas menandatangani kontrak baru.

Dybala memeterai kontrak baru selama lima tahun bersama Juve, minggu lalu, dua hari selepas meletakkan Barca dalam keadaan tergugat apabila mencipta kemenangan 3-0 dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara.

Perkembangan kontrak itu secara tidak langsung meredakan spekulasi perpindahannya dari Juve dan Dybala percaya kelab Turin itu berada sekelas dengan pasukan seperti Barca dan Real Madrid dan juga gergasi Bavaria, Bayern.

Katanya kepada TYC Sports: "Ia merupakan detik terbaik dalam kerjaya saya. Saya berasa sangat seronok di atas padang, saya bersama sebuah kelab yang tidak mempunyai apa-apa perasaan iri hati terhadap Barcelona, ​​Real Madrid atau Bayern Munich.

"Peminat-peminat, rakan sepasukan dan kelab telah membuatkan saya berasa seperti ini. Sebab itu saya tidak mempunyai masalah untuk memperbaharui kontrak. 

"Kelab ini bersaing dalam semua kejohanan. Ia adalah kelab terbesar di Itali dan dari saat saya tiba, mereka telah membantu saya untuk sedar bahawa kami perlu menang dalam semua  kejohanan yang disertai, menentang tidak kira sesiapapun dan di mana sahaja."

Dybala mengalami kecederaan buku lali dalam kemenangan 2-0 ke atas Pescara,  Sabtu lalu, tetapi pemain Argentina itu yakin dia akan cergas untuk perlawanan kedua di Camp Nou, lusa.

Tambahnya: "Saya menjalani latihan seperti biasa semalam tetapi saya tidak menyertai sesi bahagian akhir kerana mengambil langkah berjaga-jaga. Tetapi saya akan 100 peratus bersama pasukan, Rabu nanti (awal pagi Khamis)."

Dybala kerap meraikan golnya dengan menutup mukanya dengan tangannya seolah-olah ia adalah topeng dan mengakui ia merujuk kepada pemenang anugerah Oscar, filem Gladiator.

"Ia berlaku kerana saya seorang peminat filem Gladiator," kata pemain berusia 23 tahun itu.

"Saya meraikan jaringan dengan gaya itu sejak awal musim ini dan akan meneruskannya, saya tidak akan mengubahnya."

Advertisement

Must Watch Video