Usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV), menjelaskan bahawa dia bersedia untuk menjadi pemilik baru Perak FC seandainya beberapa syarat yang ditetapkannya dipersetujui pasukan berkenaan.
Perak sebelum ini dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji pemain sehingga beberapa tonggak utama memilih untuk angkat kaki daripada pasukan Bos Gaurus itu -- antaranya J. Partiban dan Kenny Pallraj.
Ia meningkatkan spekulasi bahawa pasukan itu sedang mencari pemilik baru dan DSV antara yang dikaitkan untuk mengisi peranan itu.
DSV, dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini, mengakui berminat menjadi pemilik pasukan itu tetapi menetapkan beberapa syarat seandainya perkara itu mahu direalisasikan.
"Benar (serius) dan saya juga mempunyai syarat-syarat saya dan perlu berbincang terlebih dahulu dengan pasukan saya.
"Bukan saya mahu menjadikan syarat saya itu sebagai beban tetapi berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, saya tidak dapat kerjasama daripada pemain untuk mempromosikan produk saya, bahkan saya perlu membayar mereka jika mahu mempromosikan produk saya, jadi banyak wang yang terpaksa dikeluarkan.
"Saya perlu mengambil kira juga perkara-perkara seperti itu kerana saya bukan siapa-siapa, saya bukan menteri. Saya hanyalah usahawan yang menggunakan platform sukan, khususnya bola sepak seperti ini bagi mengetengahkan produk saya," katanya.
Muzaffar Musa
Thu May 20 2021