Skip to main content

Bola Sepak

Coutinho suntik dimensi berbeza buat Bayern

coutinho.jpg
BAYERN MUNICH 3 RED STAR BELGRADE 0

Niko Kovac percaya Philippe Coutinho telah membawa "dimensi berbeza" kepada Bayern Munich selepas dia mempamerkan persembahan mengagumkan dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Red Star Belgrade.


Jaringan Kingsley Coman, Robert Lewandowski dan Thomas Muller memastikan kemenangan 3-0 gergasi Jerman itu ke atas Red Star untuk memulakan kempen Kumpulan B dengan nada positif, awal pagi tadi. 

Bagaimanapun, kelibat Coutinho -- dipinjamkan daripada juara LaLiga, Barcelona, dengan pilihan untuk mengekalkannya -- mencuri perhatian dalam pertembungan pertengahan minggu itu.

"Dia menonjolkan permainan yang sangat baik dan dengan kelicikan yang dimilikinya, dia membawa dimensi lain dalam permainan kami," kata pengurus itu Bayern itu kepada Sky di Jerman.

"Saya fikir kami patut berasa sangat gembira, kami begitu fokus dan menjaringkan tiga gol, itu sudah memadai."

Muller, yang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian untuk merekodkan penampilan ke-106 UCL bersama Bayern, memainkan peranannya dengan berkesan. 

Dia berkata: "Rekod permainan adalah sesuatu yang dikenang selepas saya bersara dan saya tidak berhasrat untuk menggantung but dalam masa terdekat, jadi itu tidak penting."

Ketua pasukan Red Star, Marko Marin, hampir menyamakan kedudukan sebelum jaringan Lewandowski dan Muller terhasil, justeru penyerang berusia 30 tahun itu menegaskan keputusan itu bukanlah gambaran sebenar kepada pertembungan itu.

"Kami melihat Bayern di tahap yang lain," kata Marin. 

"Kami boleh menjaringkan gol dengan peluang yang ada. Mereka berhak menang tetapi tidak dengan dua gol terakhir itu, ia sangat memilukan. 

"Jangan lupa bahawa ini adalah perlawanan pertama kami dan bermain di kandang lawan, jadi saya berharap kami akan menang ketika menentang Olympiacos kelak."

Pengurus pelawat, Vladan Milojevic, menambah: "Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, Bayern dan Tottenham merupakan pilihan dalam kumpulan ini dan kita telah saksikan sebabnya malam ini. Kami berdepan sebuah pasukan yang berpotensi untuk muncul juara."
 

Advertisement

Must Watch Video