Skip to main content

Bola Sepak

Coupe de France: Lyon, Paris FC disingkir gara-gara keganasan penyokong

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

paris-fc-v-lyon.jpg
Lyon menerima padah daripada tingkah laku penyokong mereka dalam perlawanan pusingan 64 Coupe de France menentang Paris FC apabila sah disingkirkan daripada kejohanan itu.

Paris FC juga turut disingkirkan daripada kejohanan berkenaan dan dikenakan denda lima perlawanan secara tertutup manakala penyokong Lyon pula dilarang untuk bertandang ke mana-mana venue pasukan lawan bagi setiap perlawanan domestik sepanjang baki musim ini.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu pada 17 Disember lalu terpaksa dibatalkan selepas penyokong mereka bertempur di Charlety Stadium.

Mereka didapati bergaduh di kawasan tempat duduk dan beberapa suar turut dinyalakan sambil sebahagian daripadanya bertindak menceroboh kawasan padang.

Lyon mengisytiharkan bahawa mereka akan mengenal pasti dan memburu individu yang bertanggungjawab terhadap insiden itu dan menghukum mereka dengan larangan seumur hidup ke stadium tetapi Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memilih untuk menjatuhkan hukuman berat buat kedua-dua pasukan itu.

Pemenang dalam pertemuan itu sepatutnya akan bertemu Nice, namun Mesyuarat Suruhanjaya Tatatertib FFF malam tadi memutuskan bahawa kedua-dua pasukan itu dibatalkan penyertaan sambil mengenakan larangan ke stadium dan denda sebanyak €10,000 (RM47,391) buat Paris FC.

FFF turut berkata bahawa penyokong Lyon akan dilarang menyertai perlawanan di gelanggang lawan sehingga penghujung musim 2021-22 dan sekatan itu dikenakan buat kesemua pertandingan yang dianjurkan FFF dan LFP (Ligue de Football Professionnel) yang melibatkan pasukan utama mereka.

Lyon juga berdepan penggantungan daripada menyertai Coupe de France musim depan, yang akan dikenakan sekiranya penyokong mereka sekali lagi menimbulkan masalah.

Selain itu, kelab Ligue 1 berkenaan turut diarah membayar kos memperbaiki tempat duduk di Charlety yang dirosakkan penyokong mereka berjumlah  €52,000 (RM246,428).
 

Advertisement

Must Watch Video