Skip to main content

Bola Sepak

Conte kagum dengan kebolehan Handanovic

antonioconte.jpg
INTER 1 LAZIO 0

Antonio Conte mengagumi aksi cemerlang Samir Handanovic selepas penjaga gol itu membantu Inter meneruskan permulaan terbaik dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.


Handanovic menafikan empat percubaan dalam penampilannya yang ke-300 untuk kelab itu bagi membantu Inter mengatasi Lazio 1-0 di San Siro, sekali gus kekal mendahului liga hasil lima kemenangan.

Conte memuji Handanovic dan persembahan Inter selepas berusaha untuk meraih kemenangan menerusi jaringan tunggal Danilo D'Ambrosio dalam separuh masa pertama.

"Ia amat sukar dan kemenangan yang penting ke atas pasukan yang kuat, yang telah berusaha mempertingkatkan mutu skuad mereka," katanya.

"Saya kurang gembira dengan persembahan separuh masa pertama, kami bermula agresif, melancarkan serangan, namun Lazio kerap melancarkan serangan balas.

"Selepas menjaringkan gol, kami kerap bertahan dan membuka ruang kepada Lazio, namun Inter bernasib baik kerana Handanovic mempamerkan aksi cemerlang.

"Kami mengubah corak permainan dalam separuh masa kedua, mendominasi permainan bagi memastikan kemenangan."

Conte mencetak sejarah apabila muncul pengendali pertama Inter meraih lima kemenangan pertama dalam saingan Serie A.

Berpuas hati dengan pencapaian itu, dia berasakan Inter -- yang bakal berkunjung ke Sampdoria, Sabtu ini -- mampu mempertingkatkan lagi mutu permainan.

"Lima kemenangan berturut-turut bukan kebetulan, kami perlu terus memperbaiki permainan dan memiliki mentaliti yang terbaik untuk menghadapi perlawanan seterusnya."

Advertisement

Must Watch Video