Skip to main content

Bola Sepak

City perlukan 10 tahun capai status skuad elit Eropah

pep-guardiola-050717.jpg
Manchester City memerlukan tempoh 10 tahun untuk berdiri setaraf dengan Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich atau Juventus, menurut pengurus kelab, Pep Guardiola.

Kempen sulung pengurus berusia 46 tahun itu di Stadium Etihad berakhir dengan kekecewaan, dengan City menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga dan gagal memenangi sebarang trofi. 

Kempen Liga Juara-Juara mereka berakhir di peringkat 16 kepada AS Monaco -- ia merupakan kali pertama Guardiola gagal mara ke separuh akhir sebagai jurulatih. 

City, yang sedang membina semula skuad dalam usaha memenangi kejuaraan pada musim 2018, telah membelanjakan GBP76 juta ke atas Bernardo Silva dan Ederson selain turut dikaitkan dengan beberapa pemain lagi, termasuk  Alexis Sanchez dan Benjamin Mendy.

Bagaimanapun, Guardiola menegaskan dia tidak akan mengubah cara pengendaliannya di England dan dia melontarkan amaran kepada peminat City bahawa ia memerlukan sedekad untuk membina kejayaan sepertimana yang didominasi pasukan Eropah yang lain. 

"Saya tidak akan mengubah (pendekatan) kerana saya tidak tahu cara sebaliknya," katanya kepada L'Esportiu.

"Di sini, seperti di mana-mana tempat lain sekalipun, ia mengenai 11 lawan 11 dalam ruang yang sama. Apa yang membezakannya adalah pengadil dan permainan lebih seimbang. 

"Saya harap dapat menghasilkan dengan baik, sepertimana pada musim pertama saya kerana saya menikmatinya. 

"Ada pihak mendakwa kempen mereka tidak berjalan lancar, namun kami mempunyai banyak pengecualian. 

"Tujuh tahun sebagai ketua jurulatih dan enam gelaran liga, banyak perkara yang perlu dibincangkan. Saya sering mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara. Tahun ini, kami gagal melakukannya tetapi Barca juga bukannya setiap tahun ke separuh akhir. 

"City merupakan pasukan hebat, kami layak ke Liga Juara-Juara lima tahun berturut-turut, pasukan tunggal di England yang melakukannya. 

"Jadi, untuk mencapai status seperti Barca, Real Madrid, Bayern, Juventus... ia sukar, anda perlukan masa, sedekad."

 

Advertisement

Must Watch Video