Biarpun bakal berdepan Terengganu di pentas separuh akhir pertama Piala FA, esok, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membuat keputusan mengejut dengan melepaskan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dan peranan sebagai ketua jurulatih kini digalas oleh pembantunya, Nidzam Adzha Yusoff, buat sementara waktu.
Seperti tidak kena pada masanya, KFA membuat keputusan berkenaan atas alasan Cheng Hoe sudah memberi notis selama sebulan untuk melepaskan tugasnya.
Menurut pengurus Lang Merah, Datuk Jeffrey Low, mereka terpaksa melepaskan Cheng Hoe memandangkan dia akan memulakan tugasannya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan depan.
Namun, Jeffrey yakin keputusan itu tidak menjejaskan moral pemain Kedah dan menaruh sepenuh keyakinan bahawa Nidzam Adzha mampu menggalas tugas ketika ketiadaan Cheng Hoe untuk membawa Kedah mara ke final Piala FA, musim ini.
"Dua hari lalu, kami telah mengadakan pertemuan dan kami tidak mahu terus menangguhkan hajat Tan (Cheng Hoe) lebih lama.
"Bagi kami, Tan sudah berniat untuk ke FAM.
"Jadi, adalah tidak adil untuk menangguhkan hasratnya," katanya.
Astro Arena
Sat Apr 29 2017